Free Shoutcast HostingRadio Stream Hosting

Wednesday, May 2, 2012

'Penyokong Kelantan bukan kumpulan samseng'

Yahya (kiri sekali) dan Safhras Khan (dua dari kiri) bersama KPBSK di Kota Bharu

PENYOKONG pasukan bola sepak Kelantan FA sering dikaitkan dengan kegiatan-kegiatan ganas.

Bahkan kumpulan tersebut pernah didenda RM250,000 ($104,100) kerana merusuk selepas satu perlawanan Liga Super Malaysia dua tahun lalu.

Namun, pengerusi Kelab Penyokong Rasmi Bola Sepak Kelantan (KPBSK), Mohd Yahya Jamada Ali, menekankan ahli kelab itu bukanlah sekumpulan samseng.

Ketika ditemui di The Red Warriors Cafe di Kota Bahru semalam, Yahya berkata tanggapan bahawa para penyokong negeri itu ganas adalah tidak benar.

'Selalunya, kami yang disasar dan para penyokong lawan yang mengejek atau melontar barang seperti botol atau batu ke arah kami.

'Sebetulnya kami tidak pernah ke stadium-stadium lawan untuk memulakan perkelahian,' katanya.

Yahya bersama-sama lima anggota kelab itu sempat bertemu Berita Harian semalam untuk menerangkan keadaan sebenar.

Safhras Khan (kiri) dan Zainal Yahya, Chief Photojournalist
Menurut Yahya, kelab penyokong yang mempunyai hampir 10,000 anggota itu mungkin mendapat gelaran itu kerana perangai penyokong-penyokong mereka semasa tahun-tahun 1970-an.

'Memang pada tahun-tahun tersebut para penyokong kami fanatik tetapi kini kami sudah pun berubah.

'Kami mendidik anggota-anggota muda kami supaya bersikap lebih terbuka,' kata Yahya.

Ditanya mengenai sikap para penyokong mereka yang gemar melepaskan mercun, Yahya, sambil tersenyum, berkata itu merupakan adat, bukan sahaja di Kelantan, malah di serata Malaysia.

Menang atau kalah, tambah Yahya, para penyokong serata Malaysia akan melepaskan mercun sebagai tanda gembira atau kecewa.

'Saya akui ada segelintir daripada penyokong saya yang nakal. Saya tidak akan berkata mereka itu samseng tetapi mereka nakal dan itu tidak sampai ke tahap ganas.

'Namun, gerak-geri penyokong Kelantan sering dilaporkan secara negatif oleh pihak media di Malaysia dan itu yang memburukkan nama kami, walhal para penyokong lain juga ada yang bersikap serupa,' ujarnya yang sudah pun 10 tahun berkecimpung dengan kelab itu.



Menurut Yahya lagi, sukar bagi pihaknya mengawasi kesemua penyokong mereka.

Beliau menjelaskan pergaduhan sering tercetus kerana penyokong Kelantan selalunya dicabar oleh penyokong lawan.

Menurutnya, penyokong Kelantan pantang apabila penyokong lawan melempar benda ke arah mereka.

'Namun, walaupun kami dicampak (benda), kami tetap bersabar dan tidak mahu mencari pasal. Tetapi kalau asyik dicabar, mungkin itulah punca pergaduhan,' dakwa Yahya.

Beliau berkata, para penyokong kelab itu bersikap terbuka kepada penyokong-penyokong lain.

Sebagai contoh, kalau ada penyokong-penyokong lain yang ke Kota Bahru, mereka boleh berkumpul di The Red Warriors Cafe sebelum bermulanya perlawanan.

'Daripada sini, kami akan berjalan bersama-sama mereka untuk menonton bola di stadium,' katanya.

Oleh
Safhras Khan, Journalis, Berita Harian/Berita Minggu Singapura

0 comments:

Post a Comment