Free Shoutcast HostingRadio Stream Hosting

Thursday, August 23, 2012

Resepi dominasi The Red Warriors

 Kelantan - The Red Warriors




Awal bulan lepas, Kelantan telah dinobatkan sebagai Juara Liga Super (MSL) buat tahun ke 2 berturut-turut sebelum menamatkan dua perlawanan berbaki apabila menewaskan Perak 6-0 di Kota Bharu. Dengan kejayaan tersebut, Kelantan merupakan pasukan ketiga dalam sejarah Liga Super Malaysia, menjadi johan berturut-turut untuk dua musim.

Kelantan meneruskan kempen mereka dalam saingan Piala Malaysia, dengan misi menjadi juara treble musim ini. Mereka berjaya membawa pulang Piala Malaysia ke Kota Bharu pada tahun 2010 setelah menunggu 66 tahun.

Banyak perkara yang menyumbang kepada kejayaan pasukan yang bergelar The Red Warriors ini. Kita lihat  lima faktor utama yang menjadi resepi Warriors.

Ketua Jurulatih



Ia suatu pandangan yang kurang tepat apabila mengatakan Bojan Hodak mewarisi pasukan yang kuat dan hanya perlu menamakan kesebelasan utama pemain-pemain untuk setiap kejayaan setiap perlawanan. Dalam pengamatan yang sebenar, pasukan Kelantan menjadi semakin baik di bawah kendalian Hodak.

Kelantan sekarang telah memperbaiki corak permainan sebagai satu pasukan dengan hantaran-hantaran bola yang lebih baik sejak Hodak mengambil alih. Tidak keterlaluan jika dikatakan, ada masanya apabila melihat corak permainan Kelantan ia seolah-olah melihat permainan sebuah kelab Eropah. Keupayaan Hodak menukar kebiasaan cara bermain pasukan sebelum ini harus diberi pujian.

Pengurusan



Prestasi pasukan dan masalah dalaman persatuan pernah membuatkan Kelantan "jatuh", menyaksikan pasukan tersebut hanya layak beraksi di Liga FAM pada tahun 2004.

Pengurusan persatuan kemudian diambilalih oleh Tan Sri Annuar Musa pada tahun 2007. Bermula dari tahun berkenaan, sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar secara aktif terlibat dalam pengambilan pemain-pemain yang berkualiti daripada pasukan lain, seperti Norshahrul Idlan Talaha, S. Subramaniam dan Indra Putra Mahayuddin.

Tan Sri Presiden juga bertindak mendapatkan penajaan untuk pasukan dan untuk musim 2012 membuat keputusan untuk melabur bagi mendapatkan perkhidmatan pemain-pemain import yang baik.

Pendekatan hubungan "ayah anak" yang beliau gunakan berkesan dalam menjaga kebajikan pemain dan pegawai pasukan. Presiden juga secara peribadi mengendalikan sesi motivasi untuk pasukan apabila keadaan memerlukan. 


Gandingan Presiden dan Pengurus Pasukan, Tuan Hj Azman Ibrahim, dalam pengurusan adalah tulang belakang kekuatan. Hj Azman dikenali sebagai seorang yang sangat komited dalam melaksanakan tugas sebagai seorang pengurus yang sememangnya amat mencabar. 

Kepada pasukan-pasukan lain, ia merupakan contoh terbaik bagaimana untuk menguruskan sebuah organisasi sukan dan pasukan bola sepak secara profesional. Menguatkan fakta ini, ada pasukan dan kelab bola sepak yang telah memohon secara rasmi untuk meletakkan pegawai mereka di KAFA bagi mempelajari selok-belok pengurusan persatuan dan pasukan.

Ketua Pasukan



Ia menjadi tanda tanya kepada semua orang, kenapa Badri Radzi tidak terpilih untuk mewakili pasukan kebangsaan dalam kejohanan-kejohanan yang disertai. Walaupun kemungkinan keupayaan sebenar Badri Radzi tidak diberi pengiktirafan sewajarnya di peringkat kebangsaan, ketua pasukan Kelantan yang mesra dikenali sebagai "Piya" adalah model seorang pemain profesional yang bersikap rendah diri dan patut menjadi contoh kepada pemain-pemain muda di Malaysia.

Piya mempunyai pakej lengkap sebagai seorang pemain midfield pasukan dengan keupayaan baik berkomunikasi dengan rakan pemain, skil menghantar bola dengan tepat dan membaca permainan lawan. Walaupun bermain di bahagian tengan, Piya juga sering turun mambantu barisan pertahanan pasukan, menjadikan beliau sebagai seorang ketua pasukan yang menjadi inspirasi kepada rakan-rakan pasukan yang lain.

Sewaktu beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang Queen Park Rangers (QPR) baru-baru ini, Piya tidak langsung kelihatan gugup dan berjaya menjalankan tugasnya dengan baik. Kerana itu, walaupun kalah dalam pertemuan tersebut, Pengerusi QPR, Tan Sri Tony Fernandes, tidak ragu-ragu memilih Piya sebagai pemain terbaik perlawanan.

Konsisten



Kelantan hanya tewas dua perlawanan daripada 26 perlawanan Liga Super musim ini. Keupayaan memenangi 69% daripada jumlah perlawanan adalah sesuatu yang menakjubkan. Sebagai perbandingan umum, Manchester United yang memenangi kejohanan treble pada tahun 1999 hanya mencapai peratusan kemenangan perlawanan 58% daripada semua perlawanan liga mereka, menjaringkan 53 gol dan bolos sebanyak 18 gol.

Penyokong



Penyokong merupakan faktor penting dalam sukan bola sepak Kelantan. Pengaruh penyokong kepada pasukan tidak harus diperkecilkan. Walaupun tidak menerima anugerah sebagai penyokong terbaik di liga tempatan, penyokong Kelantan tidak pernah hilang keghairahan mereka untuk memberi sokongan padu kepada pasukan, penyokong yang lantang bersuara dan turun memberi sokongan dalam pelbagai cara dan corak setiap kali pasukan bermain.


Mereka mengikuti dengan teliti perkembangan pasukan dan sanggup berbelanja demi pasukan kesayangan mereka. Penyokong Kelantan juga adalah satu-satunya kumpulan yang hadir beramai-ramai ketika perlawanan berlangsung di tempat lawan, sesuatu yang jarang-jarang kelihatan dalam bola sepak Malaysia.

Dikenali sebagai "12th Warriors", sokongan mereka tidak pernah kurang, baik ketika beraksi di gelanggang keramat Stadium Sultan Muhammad Ke IV, mahupun di gelanggang lawan.

Untuk arkib foto pasukan anda boleh kunjungi TRW Social and Online Media.

Amierul Hisham
TRW Bulletin
.





0 comments:

Post a Comment