Juara Liga Iraq, Arbil menewaskan Juara Liga Super Malaysia, Kelantan 5-1 dalam pertemuan suku akhir pertama Piala AFC 2012 di Stadium Franso Hariri lewat malam tadi.
Arbil mendominasi keseluruhan permainan tetapi kapten pasukan Kelantan Badri Radzi menyempurnakan sepakan penalti menyamakan kedudukan 1-1 setelah Arbil memperoleh gol pertama mereka melalui Halkard Mulla Mohammed.
Walau bagaimanapun, Arbil kembali mendahului di separuh masa kedua apabila Amjed Radhi menjaringkan gol mereka melalui sepakan penalti, diikuti jaringan-jaringan 1 gol oleh Luay Salah dan 2 gol oleh pemain gantian Salih Sadeer.
Peluang untuk Kelantan mara dilihat agak sukar kerana mereka memerlukan 4 jaringan tanpa balas apabila bertemu untuk perlawanan suku akhir kedua di Kota Bharu Selasa depan.
Permainan wakil tunggal Malaysia di separuh masa pertama ini lebih meyakinkan, sehinggalah gol pertama Arbil dijaringkan melalui sepakan kencang Halkard dari jarak 25 meter, menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.
Pasukan pelawat kemudiannya menyamakan kedudukan 3 minit kemudian apabila Kelantan diberi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Badri Radzi selepas Antwi dijatuhkan di dalam kotak penalti.
Arbil terlepas peluang menambah jaringan gol apabila sepakan Radhi di depan pintu gol yang terbuka tersasar. Khairul Fahmi juga berjaya menyelamatkan percubaan yang di buat oleh Saad Abdulameer.
Pengadil perlawanan kemudiannya menghukum kesilapan Daudsu yang mengangkat kaki terlalu tinggi di dalam kotak penalti, memberikan sepakan penalti kepada Arbil pada minit 51 yang berjaya menewaskan Khairul Fahmi untuk mengubah kedudukan kepada 2-1.
Khairul Fahmi bertindak baik menjaga gawang Kelantan. Walau bagaimanapun kesilapan beliau tidak menangkap kemas bola percubaan oleh Salah berjaya dirampas semula pemain berkenaan yang kemudiannya menjaringkan gol ke 3 Arbil pada minit ke 66.
Pemain gantian Arbil, Salih menjadikan kedudukan 4-1 pada minit ke 72 dengan satu lagi rembatan kencang dari jarak 20 meter menewaskan Khairul Fahmi.
Salih menambah jaringan dengan gol kedua peribadi beliau melalui sepakan percuma di masa tambahan separuh masa kedua, untuk gol ke 5 Arbil, menjadikan kedudukan penuh masa Arbil 5, Kelantan 1.
Oleh:
Amierul Hisham, TRW Bulletin
RakamanVideo Perlawanan oleh AFC
.
0 comments:
Post a Comment