Free Shoutcast HostingRadio Stream Hosting

Thursday, July 5, 2012

Menjelang pertemuan dengan Perak, Bojan "pening"



KELANTAN akan bertemu Perak dalam satu lagi pertemuan Liga Super pada 7 Julai, di Kota Bharu.

Ia bukan pertemuan terakhir Kelantan dalam kempen Liga Super musim ini, tapi ia seperti satu perlawanan akhir. Tanpa mengambilkira keputusan perlawanan yang melibatkan saingan terdekat, Lions XII, Kelantan akan dinobatkan sebagai Juara Liga musim ini dengan mengumpul 57 mata ini jika berjaya menewaskan Perak, walaupun masih berbaki dua perlawanan selepas itu.

Lions XII sekarang mengumpul 50 mata dan masih mempunyai baki 2 perlawanan. Lions XII akan menutup tirai dengan jumlah mata maksimum 56 jika memenangi kedua-dua baki perlawanan tersebut.

Dalam sesi temubual bersama Ketua Jurulatih, Bojan Hodak, pengendali pasukan Kelantan tersebut tetap menghormati pasukan Perak walaupun mereka tumpas kepada PKNS baru-baru ini.

"Perak sebuah pasukan yang bagus, mereka ada kekuatan fizikal dan semangat juang yang tinggi," kata Bojan.

Perak sedang menduduki tangga ke 3 Liga dengan jumlah 39 mata. Bojan juga memuji keupayaan dua pemain import Perak, Albert Ebossé Bodjongo dari Cameroon dan Michal Kubala dari Slovakia.

"Mereka juga ada pemain tempatan yang berpengalaman yang patut diawasi, seperti Nantha (K, Nanthakumar) dan Akmal (Akmal Rizal Ahmad Rakhli)."

Menyentuh tentang persediaan pasukan Kelantan, Bojan berkata hampir semua pemain yang disenarai cedera sebelum ini akan dapat diturunkan. 

Selesai sesi latihan petang semalam, beliau mengesahkan Mohd Badri Mohd Radzi, Mohd Ghaddar, Norshahrul Idlan Talaha, Nurul Azuan Roya berada dalam keadaan cergas. 

Obinna yang digantung satu perlawanan sebelum ini juga akan diturunkan ketika menentang Perak Sabtu nanti.

"Shakir akan memenuhi tahap kecergasan menjelang perlawanan. Zairul Fitree beransur pulih, Chanturu akan kembali bersama pasukan dalam masa seminggu," ujar Bojan.

Walau bagaimanapun, Bojan tidak menafikan yang beliau tetap menghadapi masalah untuk memilih pemain dalam kesebelasan utama pasukan.

Sambil mengerut dahi, dan tersenyum, beliau berkata (dalam bahasa Inggeris), "Indra, he scored and assist goals. And now I have Azlan, who also scored and fight."

Bojan mengharapkan penyokong-penyokong akan turun memenuhi stadium bagi memberi sokongan kepada pemain-pemain.

"The team definitely needs its supporters to be close. Come and help us win the game. It'a a final, and we'll play like one," kata beliau, menutup perbualan kami.

Semuga Kelantan akan mengekalkan kejuaraan yang dijulang musim lalu. 

Gomo Kelate Gomo! Gomo The Red Warriors Gomo!

Amierul Hisham
TRWFM Bulletin
.

0 comments:

Post a Comment