Walaupun mencatat keputusan seri 1-1 dengan Kelantan, saya harus memberi pujian kepada pasukan ATM sekali lagi membuktikan mereka sememangnya layak bergelar Juara Liga Perdana musim ini.
Kedua-dua pasukan mempamerkan permaianan yang agak seimbang dengan bergilir-gilir melakukan serangan ke kubu lawan. Walaupun Apex tidak berjaya menangkap bola dengan kemas, boleh dikatakan jaringan gol kedua-dua pasukan terhasil daripada kesilapan bahagian pertahanan.
Afiq sekali lagi menggunakan ketinggian beliau untuk mencabar lawan, walaupun berpeluang menjaringkan gol daripada sepakan leret yang ditangkap kemas oleh penjaga gol ATM.
Hasil daripada larian dan hantaran Mat Yo, yang juga beberapa kali membuat percubaan tepat ke pintu gol lawan nyaris-nyaris membolos gawang ATM. Ghaddar yang menggantikan Afiq, kelihatan bersungguh dalam percubaan menjaringkan gol. Norfarhan yang baru dimasukkan nyaris meletakkan nama beliau sebagai penjaring.
Kelantan merampas kedudukan tangga ke 2 Kumpulan B daripada Terengganu setelah pasukan tersebut tewas kepada Kedah 1-2 di Alor Setar malam tadi.
Kelantan akan bertemu ATM sekali lagi di Kota Bharu pada 1 September 2012.
Amierul Hisham
TRW Bulletin
----
NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH DAN SITI FATIMAH MUHAMMAD ALI
SINAR HARIAN
PASUKAN berstatus kelab, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) gagal mengekalkan rekod kemenangan kali ketiga apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan juara Piala FA, Kelantan dalam aksi Kumpulan B di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini.
Dengan keputusan tersebut, ATM mengutip tujuh mata untuk terus kekal selaku pendahulu Kumpulan B, sementara Kelantan berjaya menduduki tangga kedua setelah meraih empat mata dalam tiga perlawanan setakat ini.
Tuan rumah yang menurunkan kesebelasan utama termasuknya penyerang prolifiknya, Marlon Alex James terlebih dahulu berada dihadapan pada minit ke-56 hasil lorongan cantik oleh Zakuan Adha kepada Marlon yang melepaskan tendangan kaki kanan menewaskan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.
Tersentak dengan jaringan berkenaan, pelawat meneruskan serangan dengan memasukkan Norfarhan Mohammad dan mengeluarkan Nurul Azwa Roya bagi mengempur benteng pertahanan yang dikawal rapi oleh Aidil Zafuan.
Ternyata percaturan bijak Kelantan akhirnya berjaya apabila Obina Nwaneri menyudahkan kegagalan penjaga gawang ATM mengeluarkan bola yang dirembat kencang dari luar kotak penalti oleh Shakir Shaari pada minit ke-87.
Dengan berkesudahan seri, Kelantan semakin mencerahkan laluan mereka ke suku akhir.
Sementara itu, dalam satu lagi persaingan Kumpulan B, Kedah berjaya mencatat kemenangan pertama dengan menewaskan naib juara 2011, Terengganu 2-1 di Stadium Darul Aman.
Pasukan kelab dari selatan Johor FC gagal mengekalkan rentak kecemerlangan apabila sekadar seri 1-1 dengan PKNS dalam Kumpulan A.
Pendatang baru, Lions XII juga mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan Johor FA di Stadium TSDH Hassan Yunos.
Di Stadium Tunku Abdul Rahman, juara bertahan Piala Malaysia, Negeri Sembilan turut mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan pasukan Perak.
Dalam satu lagi saingan Kumpulan C, Sime Darby berjaya mencatat kemenangan pertama selepas menewaskan Felda United di Stadium Hang Jebat.
Dalam aksi Kumpulan D, Selangor mencerahkan peluang untuk ke suku akhir apabila mencatat kemenangan pertama 1-0 ke atas T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Sementara itu, Pahang terus mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu Kumpulan D dengan membenam Sarawak 6-0 di Stadium Darul Makmur.
.
.