PENGURUS pasukan Kelantan, Azman Ibrahim mengaku masih terlalu awal untuk menilai persembahan semua pemain dan mereka perlu berusaha lebih keras sebelum bermulanya aksi kempen Piala Malaysia pada 22 Ogos ini.
Beliau berkata, Kelantan yang diundi dalam kumpulan maut bersama Terengganu, Kedah dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu memanfaatkan sesi latihan dan perlawanan persahabatan yang diatur untuk meningkatkan prestasi.
Katanya, kejayaan menewaskan Pattani FC dari Thailand, 3-0 pada perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, Sabtu lalu tidak boleh dijadikan pengukur kemampuan pemain.
“Saya harap pemain terus berusaha menempatkan diri dalam kesebelasan terbaik kerana peluang beraksi sentiasa terbuka berdasarkan prestasi semasa yang dipamerkan.
“Bagaimanapun, saya lihat petanda positif dipamerkan pemain pada sesi latihan dan perlawanan persahabatan menentang Pattani FC dari Selatan Thailand,” katanya.
Azman berkata, pemain pinjaman Kelantan, Mohd Afiq Azmi juga dilihat cepat menyesuaikan diri bersama rakan sepasukan ketika melayan kunjungan Pattani FC.
Bagaimanapun, beliau tidak mahu anak buah jurulatih Bojan Hodak itu cepat berpuas hati dengan kejayaan itu kerana ia hanya perlawanan pemanas badan sebelum berdepan Terengganu pada saingan awal peringkat Kumpulan B di tempat lawan, 22 Ogos ini.
“Mohd Afiq bijak memanfaatkan peluang melakukan penyudah berkesan apabila mencipta hatrik untuk membantu kemenangan Red Warriors.
“Dia mempunyai kelebihan daripada segi ketinggian untuk memantapkan jentera serangan Red Warriors, terutama membantu misi Kelantan melepasi halangan peringkat kumpulan B pada kempen Piala Malaysia musim ini,” katanya.
sukan@hmetro.com.my
.
0 comments:
Post a Comment