Jika gagal bawa perubahan dalam tempoh itu, mereka perlu lepas jawatan
Pengkritik sukan tanah air, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berkata sudah tiba masanya setiap persatuan sukan di negara ini mengamalkan sistem ‘uji untuk tempoh dua tahun’ bagi jawatan presiden.
Beliau berkata, melalui sistem itu, setiap pemegang jawatan yang dipilih atau dilantik diuji dalam tempoh dua tahun dan andai tiada peningkatan, mereka wajib melepaskan jawatan untuk memberi ruang kepada muka baru.
“Pendekatan itu wajar dilaksanakan persatuan andai mahu melihat kemajuan dan perkembangan positif sukan negara dicapai,” katanya yang mengulas niat Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Nadzmi Mohd Salleh yang menyatakan hasrat meletak tampuk diterajui sejak 12 tahun lalu, Mei tahun depan.
Sikap diambil Nadzmi itu seharusnya dijadikan iktibar kepada persatuan lain yang tidak mempamerkan perkembangan seperti diharapkan peminat sukan tanah air.
Sebagai contoh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang turut dikecam supaya presidennya meletak jawatan sebelum ini.
Katanya, andai tiada peningkatan dalam tempoh masa diberikan itu, setiap presiden yang dipilih dan dilantik itu wajib melepaskan jawatan berkenaan dan memberi ruang kepada muka baru menonjolkan kebolehan.
“Mulai sekarang saya rasa lebih baik kita tekankan sistem ini yang mana setiap pemegang jawatan itu yang dipilih atau dilantik itu diuji untuk tempoh dua tahun.
“Untuk setahun dua dalam tempoh itu dia perlu tonjolkan kemampuan dia sebagai presiden.
“Jika tidak ada hasil atau keputusan yang baik dalam tempoh itu, dia (presiden) perlu ditukar dan bagi kepada muka lain pula menerajui persatuan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata, sudah tiba masanya untuk persatuan sukan di negara ini mengamalkan sistem ini jika mahu melihat badminton atau apa juga sukan di negara ini menghasilkan sesuatu. Namun, ada penggal pemegang jawatan tertinggi persatuan sukan kebangsaan ditetapkan dalam tempoh dua dan tiga tahun berdasarkan perlembagaan masing-masing.
Sebelum ini, Nadzmi mengeluarkan kenyataan enggan bertanding lagi pada pemilihan depan kemungkinan selepas menerima desakan bertubi-tubi daripada peminat, bekas pemain dan juga bekas presiden selepas skuad badminton negara mempamerkan prestasi hambar di Piala Thomas dan juga gagal menepati sasaran emas di Sukan Olimpik.
BH
.
0 comments:
Post a Comment