DI SEBALIK rasa terkilan selepas mensia-siakan peluang menewaskan Singapura pada aksi persahabatan Jumaat lalu, pemain pertahanan negara, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak percaya semua pemain bangkit daripada kekecewaan itu.
Dia yang sehingga kini masih tertanya-tanya dengan keputusan pengadil Hong Kong, Ng Kai Lam memberikan sepakan percuma dalam kotak penalti yang menjadi punca gol pertama dan kebangkitan Singapura mengikat Harimau Malaya seri 2-2 dalam perlawanan itu memberi jaminan moral pemain masih di tahap terbaik bagi menghadapi perlawanan kedua di Stadium Shah Alam esok.
“Kalau dilihat kepada keputusan perlawanan memang rasa sedih dan kecewa, tapi daripada segi persembahan pemain-pemain, kami berusaha bersungguh-sungguh.
“InsyaAllah kami memberi aksi lebih baik pada perlawanan kedua nanti, kami berharap dapat menebus kehampaan pada pusingan kelayakan (Piala Dunia 2014) tahun lalu di tangan Singapura,” katanya.
Mengimbas semula perlawanan di Stadium Jalan Besar, Malaysia berada di landasan kemenangan buat kali pertama sejak 2006 di Kota Singa apabila mendahului menerusi jaringan Mohd Azamuddin Md Akil dan Mohd Safiq Rahim.
Namun, impian itu berkecai dalam lima minit terakhir apabila Kai Lam menghadiahkan sepakan percuma dalam kotak penalti selepas beliau melayangkan kad kuning kepada Aidil kerana melakukan provokasi sebaik penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat menyelamatkan sepakan penalti Qiu Li.
Shahdan Sulaiman merembat masuk sepakan percuma itu sebelum Qiu Li menyamakan kedudukan 2-2 menerusi rembatan dari luar kotak pada masa tambahan.
“Kami hilang tumpuan selepas Singapura menjaringkan gol pertama, dan ini perlu dibaiki. Saya tidak tahu kenapa pengadil memberikan sepakan percuma. Selepas Apek (Khairul Fahmi) menyelamatkan sepakan penalti, saya gembira dan menyebut ‘Yes’. Beliau memberi saya kad kuning.
“Tapi ini satu pengajaran buat saya dan juga pemain lain,” katanya yang beraksi di posisi pertahanan tengah.
Dalam pada itu, ada berpendapat keputusan Kai Lam itu tidak boleh dipertikai kerana boleh dilakukan biarkan jarang berlaku.
“Pengadil memberikan kad kuning kerana berasakan Aidil melakukan provokasi dan apabila dia menghentikan perlawanan, sepakan percuma diberikan untuk memulakan semula perlawanan. Dalam kes ini pengadil memberikan sepakan percuma kerana pemain Malaysia melakukan kesalahan,” kata seorang pengadil Fifa yang namanya enggan disiarkan.
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
.
0 comments:
Post a Comment