Free Shoutcast HostingRadio Stream Hosting

Tuesday, June 19, 2012

Menang, tapi masih hambar


SEBELUM perlawanan, Bojan berharap pasukan akan beraski cemerlang dengan mencipta jumlah jaringan gol yang besar ketika bertemu Kuala Lumpur di Kota Bharu. 

Jumlah jaringan amat penting seandainya Kelantan terikat mata dengan pendahulu Liga, Lions XII selepas menamatkan kempen Liga Super musim ini. Walau bagaimanapun Bojan meletakan misi untuk menang sebagai matlamat utama pasukan.

Harapan Bojan untuk melihat gawang lawan kerap dibolosi tidak kesampaian. Menembusi kubu pasukan Kuala Lumpur tidak semudah mencongak keupayaan lawan melalui statistik perlawanan terdahulu. 

Hadiah sepakan penalti pada minit ke 60 yang disempurnakan oleh penyerang impot, Mohd Ghaddar, menyelamatkan maruah Kelantan yang beraksi di hadapan lebih kurang 15 ribu penyokong sendiri di Kota Bharu. Kelantan berjaya mengutip 3 mata dengan keputusan perlawanan menewaskan Kuala Lumpur 1-0 apabila wisel penamat ditiup pengadil.

Saya lihat keputusan ini tidak jauh bezanya dengan keputusan perlawanan 3 hari terdahulu, apabila Kelantan menewaskan Kedah dengan jaringan 2-1. Mungkin kerana corak permaianan yang sama ditunjukkan oleh pasukan. Tanpa menyentuh bab taktikal, persembahan keseluruhan pada pendapat saya masih lagi hambar, seperti hambarnya aksi "gomo" ketika bertemu Kedah.

Kelantan memiliki pemain-pemain yang mempunyai skil yang baik. Cuma setelah bercuti panjang, saya kurang nampak kepelbagaian rentak permainan yang selalunya ditunjukkan oleh pemain secara berpasukan dalam dua perlawanan ini.

Dari anjung media di astaka, saya melihat seolah-olah pasukan bermain dalam tekanan, melakukan kesilapan-kesilapan yang sebelum ini jarang dilakukan, mensia-siakan beberapa peluang menjaringkan gol. 

"Set play" yang kurang kemas juga memudahkan pihak lawan membaca gerakan dan mengawal benteng mereka. Bahagian pertahanan juga agak goyah, mungkin dengan ketiadaan beberapa pemain "regular" yang mengalami kecederaan.

Walaupun persembahan pasukan "di luar kebiasaan", saya tetap mengatakan Kelantan adalah sebuah pasukan yang hebat. 

Kelantan adalah Juara Piala FA. Kelantan melepasi sasaran awal dan berjaya ke peringkat suku akhir Piala AFC 2012. Kelantan juga adalah juara bertahan bagi Liga Super Malaysia. 

Mereka perlu mencipta kemenangan demi kemenangan dalam baki tujuh perlawanan seterusnya. Pendahulu liga, Lions XII akan mengumpul 56 mata jika menang baki dua perlawanan mereka. Kelantan tidak boleh berpuashati dengan kutipan mata yang sama kerana Lions XII memiliki kelebihan jumlah jaringan gol.

Untuk mengekalkan kejuaraan, Kelantan yang kini mengutip 44 mata, harus memperolehi sekurang-kurangnya 57 mata daripada baki 7 perlawanan yang bakal berlangsung.

Jika pasukan tidak mahu berada dalam keadaan tertekan, kemenangan harus dicari lebih awal dalam empat perlawanan selepas ini, ketika menentang Sabah (23.6), Terengganu (26.6), Selangor (29.6) dan Negeri Sembilan (3.7).

Seandainya ada keputusan perlawanan berkenaan tidak memihak kepada Kelantan, perhitungan bertemu Perak (7.7), Felda United (10.7) dan Sarawak (14.7) adalah pertemuan-pertemuan yang getir.

Empat perlawanan yang berlangsung di gelanggang sendiri adalah bonus. Tetapi, dalam situasi sekarang, Kelantan tidak seharusnya beraksi cemerlang di hadapan penyokong sendiri sahaja. 

Di mana sahaja, di hadapan siapa sahaja, gomo tetap gomo. Semua perlawanan adalah penting, semua perlawanan adalah perlawanan akhir.

Teruskan perjuangan The Red Warriors, Gomo Kelate Gomo! 


Amierul Hisham
TRWFM Bulletin
.


0 comments:

Post a Comment