Free Shoutcast HostingRadio Stream Hosting

Tuesday, June 19, 2012

Tugas mencabar menanti Izham


Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
.

SELEPAS sering dibayangi kehebatan penjaga gol nombor satu negara, Khairul Fahmi Che Mat, peluang kini terbuka buat Mohd Izham Tarmizi Roslan untuk membuktikan dirinya layak beraksi di pentas antarabangsa.

Kejohanan kelayakan Piala Asia 2013 Bawah 22 Tahun (B-22) di Myanmar bermula Sabtu ini bakal menjadi ujian getir buat Tarmizi yang kini menjadi calon utama di posisi penjaga gol selepas Khairul Fahmi terpaksa diketepikan kerana sudah berusia 23 tahun.

Sebelum ini Khairul Fahmi atau turut dikenali sebagai Apek menjadi pilihan jurulatih Ong Kim Swee untuk menjaga gawang untuk skuad Olimpik negara pada pusingan kelayakan Olimpik London dan skuad juara Sukan Sea 2011 sekali gus menyaksikan Tarmizi terpaksa memanaskan bangku simpanan.

Namun semangat Tarmizi, 21, tidak pernah luntur sebaliknya mengaku banyak belajar daripada ketenangan milik Apek sepanjang bersama dalam skuad.

“Kejohanan kelayakan di Myanmar akan menjadi peluang terbaik untuk saya beraksi dalam skuad utama. Memang sebelum ini peluang saya terhad di peringkat antarabangsa dan cuma beraksi dalam Liga Singapura bersama Harimau Muda A.

“Bagi saya Apek pemain yang bagus, dia memberi tunjuk ajar kepada saya. Bagi saya dia seorang penjaga gol yang cukup tenang di padang,” katanya.

Tarmizi beraksi dalam kesebelasan utama skuad B-22 negara ketika menewaskan Qatar B-22, 2-0 pada aksi pemanas badan terakhir di Stadium Shah Alam sebelum berlepas ke Myanmar Khamis ini.

Bagaimanapun pemain kelahiran Terengganu itu tidak mahu cepat mendabik dada sebaliknya perlu bersaing lebih gigih untuk memastikan kedudukannya dalam skuad yang turut dibarisi Mohd Farhan Abu Bakar dan Muhamad Ilham Amirullah Razali.

“Masih ada kelemahan perlu saya perbaiki, saya kena fokus dalam permainan. Saya tidak boleh cepat puas hati,” katanya yang menjadikan penjaga gol Sepanyol, Iker Casillas sebagai idola.

Malaysia akan memulakan kempen kelayakan Piala Asia B-22 Kumpulan G dengan menentang Korea Selatan Sabtu ini sebelum berdepan Filipina (25 Jun), Taiwan (28 Jun), Vietnam (30 Jun) dan Myanmar (3 Julai).
.

0 comments:

Post a Comment