Free Shoutcast HostingRadio Stream Hosting

Friday, June 22, 2012

Kelantan mahu cipta sejarah di AFC


KELANTAN serius dalam meneruskan saingan mereka dalam Kejohanan Piala AFC 2012 dan akan kembali beraksi di peringkat suku akhir pada bulan September nanti dengan beberapa muka baru dalam pasukan.

Menurut Tan Sri Annuar Musa, pasukan akan diperkuatkan dengan kehadiran pemain baru dari luar dan liga tempatan menjelang pertemuan suku akhir pertama menentang Arbil FC di Iraq.

Seperti yang saya tulis sebelum ini, peraturan AFC membenarkan pasukan membuat pendaftaran pemain baru  yang akan diturunkan mulai bulan September nanti. Menyedari bahawa Arbil FC bukan calang-calang pasukan, Kelantan berharap ruang yang ada sebelum perlawanan berlangsung dapat digunakan untuk memperkemaskan pasukan.

Arbil FC merupakan bekas juara liga Iraq yang berada dalam kedudukan yang baik untuk menjuarai Liga tersebut musim ini. Mereka juga adalah pasukan yang telah melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Piala AFC 2011.

Dalam perkembangan yang lain, Persatuan Bola Sepak Kelantan dikatakan masih belum menerima RM300,000 hasil daripada jualan tiket perlawanan akhir Piala FA baru-baru ini. Punca kelewatan pengagihan berkenaan tidak dijelaskan tapi sewajarnya di pandang serius oleh pengurusan FAM. 

Sebagai badan induk sukan bola sepak negara, kita berharap FAM akan menjelaskan hak-hak berkenaan kepada pasukan yang bertanding, Kelantan dan Sime Darby FC, dengan secepat mungkin. Jika FAM tidak "berkemampuan" untuk mengendalikan jumlah wang yang besar, wajarlah dilantik akauntan dan audit luar yang telus untuk menguruskannya.

Jangan sampai dikata orang, "belanja untuk sendiri mudah dilulus, tapi hak untuk badan gabungan puluh-puluh kali ditapis."

Amierul Hisham TRWFM Bulletin

----



KELANTAN BURU IMPOT BARU
Oleh SINAR HARIAN

KOTA BHARU - Wakil tunggal negara dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Kelantan bercadang untuk membawa masuk beberapa muka baru bagi memantapkan pasukan menjelang pertemuan dengan wakil Iraq, Arbil pada saingan suku akhir kejohanan 15 September ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, tindakan tersebut dibuat selaras dengan peraturan yang digubal oleh AFC dimana pasukan yang layak ke saingan suku akhir boleh mendaftarkan pemain baru sebelum bulan Ogos nanti.

Beliau berkata, pihaknya bercadang untuk mengambil beberapa pemain tempatan yang tidak terlibat dalam saingan Piala Malaysia dan pihaknya sedang mengenal pasti pemain itu.

“Sekarang ini, Keita Mandjou menjadi pemain import baharu The Red Warriors untuk saingan AFC dan beliau akan menjalani latihan bersama pasukan bermula 25 Jun ini serta akan beraksi menentang kelab Liga Perdana Inggeris Queen Park Rangers (QPR) nanti.

“Selain itu, saya meminta ketua jurulatih, Bojan Hodak untuk mencari seorang lagi pemain import dan tidak salah Kafa mengeluarkan sedikit belanja bagi memperkuatkan pasukan dalam mengharungi saingan AFC,” katanya.

Menurutnya, secara tidak langsung Kelantan dapat mengimbangi kekuatan wakil dari Iraq itu yang begitu berpengalaman dalam saingan berkenaan.

Mengulas mengenai peluang pasukannya pada pertandingan tersebut, Annuar memberitahu pihaknya meletakkan sasaran untuk meraih keputusan seri pada perlawanan pertama di Iraq dan menang di Kota Bharu.

“Ini peluang terbaik kita untuk mencipta sejarah dengan layak ke saingan separuh akhir dan ia perlu digunakan sebaik mungkin,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Annuar berkata sehingga hari ini, pihaknya masih belum menerima wang RM300,000 dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hasil jualan tiket ketika perlawanan akhir Piala FA.

“Jadi wang tersebut belum diagihkan kepada pemain, bagaimanapun, bonus berjumlah RM200,00 yang dijanjikan dalam bentuk pelancongan itu akan diberikan pada 20 November ini.

“Kesemua pemain akan dibawa melancong ke Eropah sebagai tanda penghargaan di atas kejayaan tersebut,” katanya.

.

0 comments:

Post a Comment