DUA perlawanan Kelantan sebelum ini saya gunakan perkataan "hambar"; "Liga Super : Hambar, tapi Menang - Kelantan 2, Kedah 1" dan "Menang, tapi masih hambar".
Perlawanan seterusnya menentang Sabah baru-baru ini, saya cuma katakan bahawa kita mampu mencipta lebih jaringan untuk keputusan perlawanan yang lebih baik, walaupun akhirnya terpaksa berpuas hati dengan kemenangan 2-0, jaringan pada awal dan pada minit-minit akhir perlawanan.
Sebagai seorang yang rapat dengan pasukan, saya terpaksa memilih untuk menulis sebagaimana yang ditulis oleh sebahagian besar penyokong, atau untuk melihat situasi dalam senario yang lebih luas.
Saya bersetuju bahawa setiap penyokong, khususnya yang hadir ke stadium untuk melihat sendiri perlawanan, akan meletakkan harapan yang tinggi untuk pasukan beraksi cemerlang dan mencipta kemenangan. Pasukan-pasukan yang "lemah" pada mereka akan menjadi "lauk" kepada Kelantan. Sepanjang tempoh 90 minit perlawanan berlangsung hendaklah "menghiburkan".
Bermain cantik tanpa jaringan gol, tidak boleh. Bermain cantik tapi kalah, lebih-lebih lagi. Apa yang mereka harap, setiap sen yang dibelanjakan untuk datang menyokong pasukan "dibayar" semula dengan aksi-aksi hebat pasukan kesayangan. Jika Lions XII boleh tewaskan Sabah 9-0, mereka mahu Kelantan mengatasi jumlah jaringan berkenaan.
Apabila benchmark pasukan diletak begitu tinggi, dan pasukan gagal menepati kehendak mereka, rasa keseronokan menang perlawanan berkenaan tidak mampu mengatasi luahan rasa tidak puas hati atas persembahan yang mengecewakan.
Tapi itu tidak patut menjadi sebab kenapa kita harus mengeluarkan kata-kata "pemain tidak bagus", "pasukan sedang merundum" dan ada juga yang mengungkit, mengatakan "tiket mahal".
Jangan terbawa-bawa demam Euro 2012 ke dalam liga tempatan, kerana yang beraksi di atas padang tetap pemain Kelantan. Yang di atas padang adalah Piya, Mat Yo, Norfarhan, Ghaddar; nama-nama yang sama dari awal musim hingga sekarang; mereka bukan Ronaldo, bukan Alonso, dan bukan juga Gomez.
Jika mereka hebat seperti pemain-pemain pujaan ramai di Euro 2012, sudah tentu sekarang mereka sedang beraksi bersama kelab ternama di Eropah. Dan tidak murah untuk masuk ke stadium untuk melihat mereka beraksi.
Tidak beraksi selama tiga minggu apabila liga berehat sememangnya telah memberi kesan kepada momentum pasukan.
Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak, bersetuju dengan komen yang mengatakan Kelantan menghadapi masalah penyudahan. Beliau juga bersetuju bahawa pertahanan pasukan sedikit goyah. Ditambah dengan cara permainan bertahan pasukan lawan, dengan hampir seluruh pasukan berada di depan gawang sendiri ketika Kelantan menyerang.
Dalam situasi di mana Kelantan sedang berada di kedudukan terbaik untuk mempertahakan Juara Liga yang dimenangi tahun lalu, Bojan terpaksa "membaiki kerosakan" yang ada dan dalam masa yang sama memastikan Kelantan mengutip 3 mata penuh dalam setiap perlawanan. Ia bukan suatu kerja yang mudah walaupun ia tidak mustahil.
Corak permainan mungkin hambar, saya setuju. Tetapi melihat daripada senario yang lebih luas, saya juga harus bersetuju dengan kata-kata Tuan Hj Azman Ibrahim, pengurus pasukan Kelantan, dan tidak teragak-agak menolak tepi Lions XII dan meletakkan Kelantan sebagai pasukan yang unggul walaupun sekarang berada di kedudukan ke 2 Liga Super 2012.
Kelantan tidak pernah kalah dalam perlawanan-perlawanan Piala FA. Kelantan hanya tewas sekali dalam saingan Piala AFC dan dalam saingan Liga Super setakat ini. Saya bangga apabila tiada pasukan yang mencipta deretan keputusan MENANG, sebanyak pasukan Kelantan.
Jangan silap faham, bukan bermakna pasukan tidak boleh dikritik. Saya pun biasa mengkritik pasukan. Cuma kritikan hendaklah membina dan lahir daripada fikiran yang rasional. Kritik dengan rasa penuh tanggungjawab dan penuh kesediaan untuk pendapat kita dikritik semula.
Sayangkan pasukan tidak "menghalalkan" kita untuk mengkritik secara terlalu emosional, meluahkan rasa tidak puas hati semahu-mahunya, sehingga kita puas hati.
Dahulu ada ungkapan, "kalau tak mampu menyokong ketika kalah, jangan menyokong ketika menang". Sekarang, kalau tak mampu menyokong ketika menang, apa lagi yang kita nak lakukan?
Semuga rentak pasukan bertambah baik ketika menentang Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 26 Jun, 8.45 malam. Semuga semua pemain dapat menunjukkan aksi yang terbaik dan semuga Kelantan beroleh tiga lagi mata penuh dalam misi menjadi Juara Liga musim ini.
Gomo KELATE Gomo, Gomo Biar Sngoti!
Amierul Hisham
TRWFM Bulletin
REKOD KEPUTUSAN-KEPUTUSAN PERLAWANAN SEHINGGA 23 JUN 2012
(Kekalahan pasukan di tanda merah)
LIGA SUPER
23.06.2012 SL Kelantan FA 2-0 Sabah FA
19.06.2012 SL Kuala Lumpur FA 0-1 Kelantan FA
16.06.2012 SL Kelantan FA 2-1 Kedah FA
26.05.2012 SL Johor FC 0-0 Kelantan FA
12.05.2012 SL PKNS FC 0-3 Kelantan FA
04.05.2012 SL Kelantan FA 3-0 LIONSXII
17.04.2012 SL PBDKT T-Team 1-2 Kelantan FA
14.04.2012 SL Kelantan FA 1-1 PBDKT T-Team
07.04.2012 SL Sarawak FA 1-1 Kelantan FA
31.03.2012 SL Kelantan FA 5-1 Felda United
17.03.2012 SL Perak FA 0-2 Kelantan FA
04.03.2012 SL Kelantan FA 2-1 Negeri Sembilan FA
14.02.2012 SL Selangor FA 2-1 Kelantan FA
11.02.2012 SL Kelantan FA 2-1 Terengganu FA
08.02.2012 SL Sabah FA 0-0 Kelantan FA
28.01.2012 SL Kelantan FA 3-0 Kuala Lumpur FA
20.01.2012 SL Kedah FA 0-3 Kelantan FA
17.01.2012 SL Kelantan FA 2-1 Johor FC
13.01.2012 SL Kelantan FA 1-1 PKNS FC
10.01.2012 SL LIONSXII 1-2 Kelantan FA
PIALA AFC
23.05.2012 AFCC Kelantan FA 3-2 Terengganu FA
24.04.2012 AFCC Navibank Saigon 1-2 Kelantan FA
08.05.2012 AFCC Kelantan FA 1-0 Ayeyawady United
10.04.2012 AFCC Arema Indonesia 1-3 Kelantan FA
04.04.2012 AFCC Kelantan FA 3-0 Arema Indonesia
21.03.2012 AFCC Ayeyawady United 3-1 Kelantan FA
07.03.2012 AFCC Kelantan FA 0-0 Navibank Saigon
PIALA FA
19.05.2012 FAC Sime Darby 0-1 Kelantan FA
01.05.2012 FAC Kedah FA 2-2 Kelantan FA
21.04.2012 FAC Kelantan FA 1-1 Kedah FA
24.03.2012 FAC SPA FC 0-3 Kelantan FA
27.03.2012 FAC Kelantan FA 2-0 SPA FC
10.03.2012 FAC Kelantan FA 3-2 Kuala Lumpur FA
18.02.2012 FAC Kelantan FA 2-1 Sarawak FA
0 comments:
Post a Comment