Free Shoutcast HostingRadio Stream Hosting

Monday, April 9, 2012

AFC CUP : Bojan Bimbang Cuaca Panas, Dejan Yakin Di Gelanggang Sendiri


AREMA (IND) LWN KELANTAN FA (MAS)
10 APRIL 2012, 3.00 PM

JURULATIH Kelantan, Bojan Hodak, bimbang aksi Kelantan terjejas kerana bermain pada waktu petang.

Dalam sidang media Pra Perlawanan Piala AFC yang diadakan di Stadium Gajayana pada 9 April, Bojan berkata pasukan Kelantan lebih selesa bermain pada waktu malam kerana hampir semua aksi mereka berlangsung pada waktu berkenaan.

"Kita telah bermain dalam keadaan cuaca yang terik ketika menentang Ayeyawady di Yanggon baru-baru ini. Cuaca panas itu memang menyukarkan pemain beraksi dengan baik.", kata Bojan.

Selain daripada cuaca panas, Bojan juga bimbang faktor keletihan akan menjadikan pemain tidak dapat beraksi seperti biasa. Kelantan bertemu Sarawak untuk saingan Liga Super 2 hari lalu, dan terpaksa mengharungi perjalanan jauh sebelum sampai ke Malang untuk bertemu Arema pada hari esok (10 April).

Bercakap tentang peluang Kelantan untuk menang, Bojan tetap optimis Kelantan akan mengulangi kejayaan seperti di Kota Bharu sebelum ini.

"Pada saya, kita berjaya mengawal permainan ketika bertemu Arema. Tapi, menang atau kalah, semuanya bergantung kepada kesungguhan pemain esok", jelas Bojan.



Dalam sesi yang sama Jurulatih Arema, Dejan Antonic, bimbang apabila dua pemain tunggaknya, Hermawan dan Marko Krasic tidak dapat diturunkan esok.

Hermawan telah mengumpul dua kad kuning daripada perlawanan-perlawanan sebelum ini manakala Marko masih berada di Kuala Lumpur kerana urusan visa.

"Arema harus menang esok untuk menjamin tempat di pusingan seterusnya. Beza mata kami dengan Kelantan hanya 3 saja, peluang masih ada", kata beliau.

"Semua pemain harus serius dan harus bermain lebih baik daripada sebelum ini, lebih-lebih lagi bila beraksi di gelanggang dan di hadapan penyokong sendiri", tambahnya lagi.

Arema dijangka akan mengawal ketat pergerakan pemain import Kelantan, Muhammad Ghaddar, setelah pemain tersebut berjaya mencipta hatrik ketika bertemu di Kota Bharu.

Kelantan berada di tangga ke dua Kumpulan H manakala Arema di kedudukan terakhir.

Perlawanan ini dijangka disiarkan oleh RCTI, stesen TV tempatan Indonesia.

Oleh: Amierul Hisham

0 comments:

Post a Comment