Free Shoutcast HostingRadio Stream Hosting

Sunday, April 8, 2012

PIALA PRESIDEN : SDM FC Tetap Bukan Lawan Mudah



TEWAS kepada SSTMI 0-1 di gelanggang sendiri baru-baru ini menjadi satu pengajaran yang berguna kepada Skuad Presiden Kelantan yang bertandang ke tempat lawan untuk saingan seterusnya.

Meskipun mencipta kemenangan dalam pertemuan pertama, ia tidak menjanjikan keputusan yang sama apabila bertemu sekali lagi dalam pusingan yang seterusnya. Kelantan menewaskan SSTMI 1-0 pada pertemuan pertama mereka di Johor Februari lalu.

Pengurus Pasukan, Yusri, mengingatkan pemain-pemain Kelantan supaya tidak mengambil mudah perlawanan menentang SDM FC yang bakal berlangsung di Stadium Batu Kawan pada 9 April nanti.

Walaupun SDM FC berada di kedudukan tercorot dalam Kumpulan A, kesilapan-kesilapan mudah dan kegagalan Kelantan mencipta jaringan seperti yang berlaku ketika menentang SSTMI, sudah pasti akan dihukum oleh pihak lawan.

"Kita kehilangan playmaker apabila Ketua Pasukan, Faizol Nazlin Sayuti, tidak dapat diturunkan kerana beliau sedang bersama skuad senior. Keadaan tersebut membuatkan Kelantan tidak dapat membaca permainan yang ada dan kerap mensia-siakan peluang menjaringkan gol", menurut Yusri.

Dua pemain utama skuad Presiden Kelantan, Shahiran Mohd Zain dan Faizol Nazlin Sayuti disenaraikan dalam skuad senior Kelantan.

Faizol telah diturunkan oleh Bojan Hodak sewaktu pertemuan Piala AFC menentang Arema di Kota Bharu. Beliau juga mengikuti pasukan ke Sarawak untuk saingan Liga Super dan turut bersama ke Malang, Indonesia bagi pertemuan kedua menentang Arema dalam saingan Piala AFC.

Manakala, Shahiran yang kembali bersama rakan-rakan skuad Presiden menjadi harapan untuk menjaringkan gol ketika bertemu SDM FC petang esok.

"Walaupun ramai pemain kita tercedera, kita tidak punya pilihan selain daripada menang. Setiap mata adalah penting untuk menjamin Kelantan berada dalam kelompok empat pasukan teratas Kumpulan A dan mara ke suku akhir", tambah Yusri.

Kelantan menewaskan SDM FC 3-0 di Kota Bharu dalam saingan pusingan pertama 9 Februari lalu.

"Beraksi di tempat lawan sudah tentu menjadi satu cabaran. Pemain-pemain perlu segera menyesuaikan diri dan bijak mengawal tekanan", ujar beliau lagi.

Hashim Mustapha kembali melatih skuad Presiden Kelantan selepas menamatkan kursus Kejurulatihan Lesen A yang dikendalikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ketika ditemui, Hashim berkata beberapa perubahan akan dilakukan untuk memastikan kesilapan-kesilapan mudah yang dilakukan oleh anak didik beliau tidak diulangi semasa bertemu SDM FC.

"Setiap perlawanan adalah penting bagi saya, dan penting bagi pasukan yang berdepan tugas berat mengekalkan kejuaraan yang dimenangi musim lalu", tegas Hashim.

0 comments:

Post a Comment