Free Shoutcast HostingRadio Stream Hosting

Thursday, July 12, 2012

"Insya Allah" kata Keita Mandjou


SEBENTAR tadi saya sempat menemuramah pemain import terbaru pasukan Kelantan yang berasal Republik Guinea, Keita Mandjou.

Lebih selesa dengan panggilan Keita, pemain yang beragama Islam ini mula menjalani latihan bersama-sama pasukan di padang Mardi petang tadi. Sesi latihan pertama menurut Keita, digunakan untuk membina kecergasan beliau setelah menamatkan kontrak dengan pasukan sebelum ini, Pune FC.

Keita yang telah berumahtangga berkata beliau datang bersendirian. Keluarga beliau yang menetap di Guinea tidak datang bersama-sama ke Kota Bharu.

Bekas pemain penyerang pasukan Pune FC yang berusia 32 tahun ini mampu berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Inggeris. Walaupun pernah bersama pasukan Perak, bila ditanya tentang kebolehan berbahasa Malaysia, beliau jawab, "sikit sikit".

Keita yang kurang bercakap dalam pertemuan ini hanya menjawab soalan-soalan saya. Untuk memastikan beliau selesa, saya tidak banyak bertanyakan tentang sejarah karier bola sepak beliau.

Keita pernah bermain sepasukan dengan pemain pertahanan Kelantan, S. Subramaniam, mewakili Perak sewaktu kendalian Steve Derby. Sebab itu, beliau ketawa apabila saya menyampaikan pesan Subra untuk sebut "Yamagadei" kepada beliau. Tanpa saya ketahui apa sebenarnya maksud perkataan tersebut, saya kongsi kelucuan tersebut.

Keita diambil untuk menggantikan Onyekachi Nwoha yang telah tamat kontrak bulan April lalu. Bertindak sebagai penyerang dan kadangkala sebagai pemain tengah, Keita dilihat dapat membantu pasukan mengharungi saingan Piala AFC yang seterusnya.

Kelantan akan bertemu pasukan dari Iraq, Arbil FC untuk perlawanan suku akhir pertama pada 18 September di Iraq dan pada 25 September di Kota Bharu.

Menurut pemain ini, beliau akan gunakan sesi latihan awal untuk mencari keserasian bersama pemain-pemain lain dalam pasukan. Keita akan diturunkan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa, Kelantan lawan Queen Park Rangers pada 20 Julai di Stadium Shah Alam.

Bertemu Arbil FC yang menurut beliau, sebuah kelab yang disegani di Timur Tengah dan unggul di Iraq, Keita begitu teruja untuk cuba membolosi gawang lawan, seperti yang beliau lakukan dalam hampir setiap perlawanan ketika bersama Pune FC.

Keita akan sekali turun berlatih bersama pasukan pada petang Jumaat di Stadium Sultan Muhammad Ke IV, Kota Bharu.

Sambil menikmati makan malam beliau, nasi putih dan paprik ayam, Keita yang gemar masakan pedas, beredar ke penginapan beliau di Chantique Villa.

"Insya Allah. See you tomorrow at the field," kata beliau, menjawab soalan saya tentang keyakinan beliau membantu pasukan.

Amierul Hisham
TRWFM Bulletin
.

0 comments:

Post a Comment