Free Shoutcast HostingRadio Stream Hosting

Wednesday, July 11, 2012

Hamidin - Tidak jadi isu



"TIDAK PERLU JADI ISU"

Mudah Hamidin memberi respon kepada rintihan pasukan dan penyokong-penyokong pasukan Kelantan yang mempertikaikan tindakan FAM mengadakan majlis penyerahan Piala Liga Super di Wisma FAM, dan tidak di venue perlawanan seperti kebiasaan.

Tambahan pula, tarikh yang dicadangkan bertembung dengan tarikh pertemuan persahabatan Kelantan dan QPR. Ia bakal mengundang kesulitan logistik di pihak pasukan. Yang lebih penting, keraian penyerahan piala itu tidak akan semeriah sepatutnya, sesuai dengan kejohanan prestij yang dibanggakan oleh FAM sendiri.

Hamidin menambah, ia bukan suatu perkara yang pelik kerana Kelantan pernah menerima piala di Wisma FAM pada musim lalu. 

Bagi saya, itu cuma alasan. 

Musim lalu, sepatutnya piala tersebut diserahkan kepada Kelantan di Stadium Likas, tetapi pengurusan pasukan mengambil pendekatan berlebih kurang dengan keputusan ketika itu.

Tahun 2009 dan 2010, piala diserahkan di stadium kepada Juara selepas perlawanan, dalam upacara yang gemilang. 2011 kita bagi pengecualian, tapi kenapa 2012 diulang kembali.

Jika 2013 juaranya bukan Kelantan, adakah keputusan serah di Wisma akan dikekalkan?

Amierul Hisham
TRWFM Bulletin

---

KELANTAN SEDIH KEPUTUSAN FAM
Wan Fakhrul Bakar

Meskipun berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Super buat musim kedua berturut-turut, Kelantan dipalit rasa tidak puas hati apabila buat kali kedua juga terpaksa menjulang trofi berkenaan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya.

Kelantan mengesahkan kejuaraan miliknya selepas membelasah Perak 6-0 Sabtu lalu, namun majlis penyampaian trofi tidak akan dibuat pada aksi terakhir menentang Sarawak di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu Sabtu ini, seperti diharapkan penyokong The Red Warriors. Sebaliknya FAM memutuskan majlis penyampaian trofi bagi Liga Super, Liga Perdana dan Liga FAM diadakan serentak pada jam 3 petang, 20 Julai di Wisma FAM.

Keputusan FAM itu turut menimbulkan rasa terkejut dan dukacita Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.

"Johan dan naib johan (Liga Super) sudah diketahui seawal 7 Julai (Sabtu lalu). Jadi mengapa harus menunggu dua minggu? Penyampaian piala patut dibuat pada perlawanan terakhir Liga Super di Kota Bharu. Hadiah lain bolehlah dikemudiankan.

"Saya tak dapat memahami kenapa ini dilakukan? Apakah kerana Kelantan yang memenanginya?" kata Annuar menerusi laman Facebook rasmi miliknya, semalam.

Namun Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang juga Naib Presiden FAM tampil membuat penjelasan berhubung hal berkenaan. 

"Tidak perlu jadi isu. Musim lalu pun trofi dan hadiah Liga Super disampaikan di Wisma FAM. Lagipun kebetulan pegawai FAM kini sibuk mengendalikan acara bola sepak SUKMA 2012 di Kuantan," kata Hamidin ketika dihubungi di Kuantan, malam tadi.

Mungkin secara kebetulan, malam selepas trofi itu disampaikan pada siangnya, Kelantan bertemu QPR pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam dan pasti pasukan itu dapat meraikannya walaupun lewat seminggu.

BERITA HARIAN
.

0 comments:

Post a Comment