Free Shoutcast HostingRadio Stream Hosting

Monday, July 2, 2012

Kelantan bakal bertemu barisan terbaik QPR


PENGURUSAN dan pasukan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Queen Park Rangers mempunyai alasan mereka untuk memilih Sabah dan Kelantan dari Malaysia sebagai pasukan yang akan ditentang dalam perlawanan persahabatan bersempena "QPR Asia Tour 2012".

Pengarah Perdagangan QPR, Euan Inglis bersama
Pengurus Pasukan Kelantan, Tuan Hj Azman Ibrahim
Menurut Pengarah Perdagangan QPR, Euan Inglis, Pengerusi kelab berkenaan , Tony Fernandez, membuat keputusan memilih Sabah sebagai menyokong keperluan perkembangan dan pengukuhan perniagaan Air Asia yang mahu menjadikan Kota Kinabalu sebagai salah satu hub antarabangsa syarikat penerbangan berkenaan.

Keputusan tersebut juga adalah sebagai tanda terima kasih Air Asia kepada rakyat dari negeri berkenaan yang menyokong kehadiran syarikat penerbangan tersebut dan sekaligus membuka ruang kepada penyokong-penyokong pasukan bola sepak Sabah untuk melihat aksi pemain-pemain mereka bersama barisan pemain antarabangsa dari kelab yang terkenal dengan nama jolokan "R".

Sidang Media di Hotel Grand Riverview
Kelantan pula, menurut Inglis, merupakan sebuah pasukan yang diiktiraf sebagai pasukan juara dalam Liga Tempatan. Keupayaan pasukan Kelantan menjuarai Piala FA dan melayakkan diri ke peringkat suku akhir Kejohanan Piala AFC 2012 dilihat sebagai kekuatan yang perlu diuji QPR yang turut disertai beberapa pemain baru untuk Liga yang akan bermula Ogos nanti.

Tanpa memandang rendah pencapaian Kelantan dalam arena bola sepak rantau ini, Inglis memberi jaminan QPR akan menurunkan barisan terbaik mereka, termasuk nama-nama seperti Robert Green, Dijbril Cisse, Shaun Wrigh-Phillips, Anton Ferdinand dan Bobby Zamora.

Cenderhati daripada KAFA
Pasukan QPR yang dikendalikan oleh Mark Hughes dijangka tiba di Kota Kinabalu dari Hong Kong pada 14 Julai 2012. Mereka akan mengadakan perlawanan dengan pasukan Sabah di Stadium Likas pada 17 Julai, kemudian bertemu pasukan Kelantan di Stadium Shah Alam pada 20 Julai 2012 dan mengakhiri kembara Asia mereka di Surabaya untuk satu lagi perlawanan persahabatan menentang pasukan Persebaya pada 23 Julai 2012.

Bagi tujuan persediaan tersebut, Inglis telah mengadakan lawatan ke semua stadium perlawanan bagi memastikan ia berada ditahap yang baik bagi menjamin kelancaran perlawanan. Beliau, berharap Kembara Asia QPR 2012 ini akan mencapai matlamat seperti yang ditetapkan dan membantu kelab bersedia menentang Swansea ketika bermulanya kempen Liga Perdana Inggeris pada pertengahan bulan Ogos akan datang.

Dalam perkembangan yang lain, Tan Sri Annuar Musa yang mengilhamkan perlawanan ini berkata, penyokong-penyokong pasukan Kelantan harus mengambil peluang untuk hadir dan menyaksikan perlawanan bersejarah ini.

Menurut beliau, Kelantan akan dibarisi oleh pemain-pemain sediada dan akan diperkuatkan dengan pemain-pemain hebat daripada pasukan Liga Super yang tidak layak untuk saingan Piala Malaysia. Peluang beraksi bersama pasukan ternama merupakan satu pendedahan yang amat bernilai sebelum pasukan beraksi semula pada bulan September untuk Piala AFC dan Piala Malaysia.

Tiket-tiket perlawanan persahabatan berkenaan yang berharga RM33, RM53 dan RM73 akan mula dijual secara atas talian melalui laman web AirAsia RedTix (talian hotline 03-8775 4666, 9am-6pm, kecuali pada hari minggu), juga di lokasi-lokasi Rock Corner, Victoria Music dan KL Life Center.

Manakala di Kota Bharu, tiket-tiket boleh dibeli di kaunter tiket Stadium Sultan Muhammad Ke IV dan di Wisma KAFA mulai hujung minggu ini.

KLIK untuk gambar-gambar sekitar majlis Sidang Media QPR Aisa Tour 2012, di GRV Kota Bharu.

Amierul Hisham
TRWFM Bulletin

Nota:
Saya menemuramah Euan Inglis di Lounge Cafe GRV selepas menghadiri majlis sidang media perlawanan yang diadakan di Hotel Grand Riverview Kota Bharu pada 2 Julai.





0 comments:

Post a Comment