Semangat berkobar-kobar Ong Kim Swee dan anak buahnya untuk menjulang Piala Java yang dianjurkan buat julung kalinya di Jakarta, lebur apabila penganjur terpaksa menunda kejohanan itu, semalam.
Dua kelab Eropah, Galatasaray dari Turki dan Everton England menarik diri pada saat-saat akhir menyebabkan penganjur kejohanan, Liga Prima Indonesia Sportindo (LPIS) terpaksa menunda kejohanan kepada pertengahan bulan depan tetapi belum menetapkan tarikhnya.
Kim Swee dan barisan 23 pemainnya - gabungan 15 pemain Harimau Muda dan pemain negeri serta kelab - tiba ke Jakarta Isnin lalu untuk mengharungi perlawanan kejohanan yang sepatutnya bermula hari ini menentang Galatasaray.
Bagaimanapun, penarikan diri Galatarasay dan Everton, serta kegagalan penganjur mencari kelab pengganti menyebabkan kejohanan tidak dapat diteruskan mengikut jadual dan Kim Swee berharap dapat mengatur satu perlawanan persahabatan dengan skuad bawah 23 Indonesia sebelum kembali ke tanah air.
Saya kecewa kerana kejohanan ini tidak dapat berjalan seperti yang dirancang, kata Kim Swee ketika dihubungi semalam. Perkara sebegini di luar kawalan kita dan saya harap ia tidak akan berulang lagi.
Pembatalan kejohanan itu juga menyaksikan peluang untuk Kim Swee mengulangi persembahan cemerlang bersama skuad pilihannya yang tewas tipis 1-0 di tangan Chelsea pada perlawanan persahabatan tahun lalu, tidak kesampaian.
Saya sentiasa mengharapkan perlawanan antarabangsa bagi memastikan pemain muda ini sentiasa fokus dan dapat meningkatkan prestasi mereka, kata Kim Swee.
Kim Swee bagaimanapun berharap tempoh rehat ini dapat digunakan sebaiknya pemain muda kendaliannya untuk mengembalikan kecergasan selepas mengharungi kelayakan Piala Asia B-22 di Myanmar baru-baru ini.
BH
.
0 comments:
Post a Comment