Pasukan Queen Park Rangers yang akan tiba di Kota Bharu pada 2 petang 19 Julai nanti, akan diarak ke penginapan mereka di Hotel Grand Riverview.
Menurut Rosmadi Ismail, Naib Presiden KAFA, sesi bertemu peminat akan diadakan di ruang khas hotel berkenaan, sebelum mereka beredar ke Stadium Sultan Muhammad Ke IV untuk menjalani latihan. Latihan di stadium yang sama akan turut disertai oleh pemain-pemain The Red Warriors.
Penyokong-penyokong yang telah membeli tiket perlawanan persahabatan Kelantan dan QPR akan berpeluang untuk menyaksikan sesi latihan yang dijangka berlangsung selama satu jam untuk setiap pasukan.
Kedua-dua pasukan kemudiannya akan diraikan dalam satu majlis makan malam di hotel yang sama sebelum bertolak ke Kuala Lumpur. 20 pembeli tiket perlawanan yang bertuah akan dijemput sama menghadiri majlis makan malam berkenaan.
Dalam sidang media berkenaan, Rosmadi memaklumkan, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan yang juga adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Sri Mustapha Mohamed, bersetuju untuk menaja kos pengangkutan 40 buah bas yang bakal digunakan untuk membawa penyokong-penyokong Kelantan ke Stadium Shah Alam menjelang perlawanan yang dijadualkan berlangsung pada 20 Julai.
Sementara itu, Pengarah Jualan Hotel Grand Riverview Kota Bharu, En Azrin Zainal Abidin, pihak hotel berasa bangga kerana berpeluang bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk menjayakan majlis berkenaan.
Menurut beliau, ia merupakan satu kebanggaan bagi pihak hotel yang diberi kepercayaan untuk turut sama dalam penganjuran yang melibatkan pasukan bola sepak Liga Perdana Inggeris, Queen Park Rangers.
Azrin juga memaklumkan, pihak hotel yang menaja persediaan tersebut juga menyediakan kemudahan untuk penyokong-penyokong membeli tiket perlawanan berharga RM33 bermula hari ini.
Amierul Hisham
TRWFM Bulletin
.
0 comments:
Post a Comment