Free Shoutcast HostingRadio Stream Hosting

Tuesday, July 3, 2012

Kelantan terus cemerlang di gelanggang lawan


Aksi pemain Kelantan ketika menentang skuad Negeri Sembilan.
Kelantan menang 3-2. - Foto Sinar Harian oleh Safwan Mansor 
SUASANA di kafe seperti di dalam stadium dengan pengunjung yang hadir bertempek, bersorak menyokong pasukan yang beraksi ratusan kilometer jauhnya dari Kota Bharu.

Separuh masa yang pertama amat mendebarkan. Kelantan turun tanpa sebahagian besar pemain utama yang terlibat dengan kecederaan dan menjalani hukuman penggantungan. Barisan pelapis dan pemain sokongan dari skuad junior menjadi harapan dan sandaran.

Gol pertama pihak lawan amat menyentap perasaan. Ketika itu nama Obinna kerap disebut. Obinna dilihat sebagai benteng pertahanan utama Kelantan tetapi tidak dapat bersama pasukan kerana digantung satu perlawanan.

Keserasian pemain yang agak lama tidak beraksi dan pemain-pemain junior yang masih perlukan banyak pendedahan sememangnya amat menguji pasukan. Pemain Kelantan perlu memenangi "keampuhan" di kalangan mereka sebelum mereka boleh mengatasi pihak lawan.

Bojan Hodak tidak mudah melatah dan tidak tergopoh-gopoh menukar pemain serta mengubah corak permainan. Jurulatih tersebut membiarkan Negeri Sembilan "selesa" dengan "kelemahan" Kelantan, sebelum memasukkan Ghaddar dan Piya di separuh masa ke 2. 

Dan ketika itu, semuanya berubah. Alhamdulillah.

Amierul Hisham
TRWFM Bulletin

---



Kredit Video : Sokernet


KELANTAN KEKAL PENDAHULU LIGA SUPER
NEGERI SEMBILAN 2, KELANTAN 3


KELANTAN mengekalkan kedudukan selaku pendahulu Liga Super selepas mencatat kemenangan 3-2 ke atas Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, malam tadi.

Keputusan tersebut membolehkan skuad bimbingan Bojan Hodak menggumpul 54 mata iaitu empat mata di hadapan pasukan Lions XII dari Singapura yang tidak bermain semalam.

Penyerang skuad Rusa, Mohd Firdaus Azizul membuka tirai jaringan seawal minit ke-13 sebelum Mohd Azlan Ismail menyamakan kedudukan untuk Kelantan pada minit ke-46.

Mohammed Ghaddar Mahmoud menjaringkan gol kedua Kelantan pada minit ke-63 sebelum Indra Putra Mahayuddin mengukuhkan kedudukan pasukan pelawat lima minit kemudian.

Ketua pasukan Negeri Sembilan, Mohd Shukor Adan mengurangkan defisit jaringan apabila menyumbat masuk gol kedua tuan rumah pada minit ke-85.

TERENGGANU 2, KUALA LUMPUR 1

Terengganu yang tewas 1-2 kepada Kedah, Sabtu lepas kembali bangkit mencipta kemenangan selepas mengalahkan pasukan tercorot liga, Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Dua gol skuad Penyu dijaringkan penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Doe pada minit ke-13 dan 84 manakala gol tunggal skuad warga kota dijaringkan Emmanuel Okine pada minit ke-30.

JOHOR FC 2, SABAH 1

Johor FC turut mencatat kemenangan dengan jaringan yang sama bertemu Sabah di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Dua gol Johor FC dijaringkan Mohd Syazwan Zainon seawal minit kedua dan sepakan penalti Mohd Haris Safwan Mohd Kamal pada minit ke-45 manakala gol tunggal Sabah menerusi Shahrudin Yakup pada minit ke-36.

SELANGOR 1, KEDAH 1

Selangor pula mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang Kedah di Stadium Shah Alam.

Penyerang import dari Croatia, Bosko Balaban meletakkan Selangor di hadapan pada minit ke-62 sebelum Muhd Khyril Muhymeen menyamakan kedudukan, dua minit sebelum tamat permainan.

PERAK 1, PKNS 2

Sementara itu, pasukan tangga ketiga liga Perak tewas 1-2 kepada pasukan kelab dari Lembah Klang, PKNS Selangor di Stadium Perak, Ipoh.

Penyerang Akmal Rizal Ahmad Rakhli menjaringkan gol pendahuluan skuad Seladang pada minit ke-43 sebelum pasukan pelawat membalas dengan dua gol menerusi Mohd Fazli Baharuddin pada minit ke-75 dan 78.

SARAWAK 0, T.TEAM 1

Sarawak turut menerima nasib sama apabila tumpas 0-1 kepada T-Team di Stadium Negeri Sarawak menerusi jaringan Mohd Fadzli Saari pada minit
ke-30. 

BERNAMA
.

0 comments:

Post a Comment