Penampilan semula Rozaimi bersama skuad senior Kebangsaan sudah saya duga lebih awal.
Rozaimi yang pernah bersama skuad yang sama ketika menundukkan Sri Lanka 6-0 dalam perlawanan persahabatan baru-baru ini, beraksi cemerlang di Kejohanan Kelayakan Piala AFC B22 yang berlangsung di Myanmar.
Penyerang yang berasal dari Sabah ini dipanggil untuk membantu skuad bola sepak SUKMA Sabah di Pahang setelah Malaysia tersingkir daripada pusingan kelayakan AFC tersebut.
Rozaimi dilihat sebagai pemain muda Malaysia di bahagian serangan yang bakal menyinar selepas Nazmi Mansor yang kini beraksi bersama kelab Divisyen 1 Portugal.
Beliau yang diasuh oleh jurulatih kebangsaan, Ong Kim Swee, dilapurkan menerima tawaran untuk menjalani sesi percubaan bersama kelab liga utama Thailand, BEC Tero Sasana.
Amierul Hisham
TRWFM Bulletin
----
PEMAIN muda, Rozaimi Abd Rahman terus mendapat perhatian apabila dia dipanggil untuk menyertai latihan dan pemilihan skuad kebangsaan kendalian Datuk K Rajagobal bagi aksi persahabatan dengan dua kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal dan Manchester City bulan ini.
Keputusan pengendali negara itu untuk menyenaraikan Rozaimi, 19, bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika mengambil kira prestasinya yang meledak 10 gol pada kejohanan kelayakan Piala Asia Bawah 22 Tahun 2013 di Yangon, Myanmar baru-baru ini.
Ini kali kedua pemain tengah Sabah itu menyertai skuad Harimau Malaya selepas kali pertama dipanggil ketika Malaysia menewaskan Sri Lanka 6-0 pada 28 April lalu.
“Saya agak terkejut apabila dimaklumkan nama saya berada dalam skuad kebangsaan. Ini kali kedua saya menyertai skuad kebangsaan kerana sebelum ini saya hanya berpeluang bermain dengan skuad Olimpik dan skuad bawah 22 tahun.
“Saya akan cuba buat yang terbaik kerana untuk mendapat tempat dalam skuad kebangsaan bukan mudah, ramai pemain yang bagus-bagus,” katanya yang tiba di Kuala Lumpur semalam bersama skuad Sabah bagi perlawanan Liga Super menentang Selangor malam ini.
Turut menguatkan cabaran negara bagi pertembungan dengan Arsenal dan City pada 24 dan 30 Julai di Stadium Nasional Bukit Jalil adalah penyerang Pelita Jaya FC, Mohd Safee Sali manakala Baddrol Bakhtiar (Kedah), Mohamad Muslim Ahmad (Terengganu) dan Yong Kuong Yong (Felda United) kembali dipanggil.
Mengulas mengenai tawaran kelab liga utama Thailand, BEC Tero Sasana bagi menjalani ujian percubaan seperti yang dilaporkan Arena Metro sebelum ini, Rozaimi berkata:
“Saya berminat dengan tawaran itu tapi setakat ini saya cuma dihubungi ejen BEC Tero Sasana dan masih belum ada perbincangan dengan pihak pengurusan Sabah FA.”
Sementara itu, jurulatih skuad B-22 negara, Ong Kim Swee yang bertanggung jawab mendedahkan Rozaimi di pentas antarabangsa menasihatkan agar pemain itu menimbangkan tawaran itu dengan sebaik-baiknya.
HARIAN METRO
.
0 comments:
Post a Comment