BEKAS jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris kini berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat menyelesaikan segera kemelut penamatan kontraknya.
Selepas gagal mencari jalan penyelesaian dengan Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT), jurulatih berusia 54 tahun itu terpaksa mengadu kepada badan induk bola sepak negara.
Mat Zan berkata, semua perbincangan dengan PBSNT menemui jalan buntu dan berharap keadilan dapat dicari melalui jawatankuasa timbang-tara FAM.
“Saya sudah menyerahkan kes ini secara rasmi kepada FAM baru-baru ini kerana majikan saya sudah tidak lagi membayar gaji selepas menghantar surat penamatan kontrak beberapa minggu lalu.
“Persatuan negeri cuma membayar gaji saya hingga Mei lalu walaupun mereka ada berkata akan membayar dua bulan gaji, namun tidak ada pembayaran yang saya terima untuk Jun,” katanya.
Menurutnya, kedatangan Ramadan sekurang-kurangnya dapat menenangkan hatinya yang terguris akibat tindakan bekas majikannya mengelak daripada membayar pampasan setimpal kepadanya.
“Saya mempunyai kontrak sebagai ketua jurulatih hingga akhir tahun depan tapi persatuan cuba mencari jalan mudah dengan menuduh saya tidak hadir bertugas sekali gus melanggar perjanjian. “Mereka merehatkan saya, memberitahu khidmat saya tidak diperlukan lagi, mengambil jurulatih baru untuk menggantikan saya, menerima kereta dan rumah sewa yang saya serahkan semula kepada mereka dan akhirnya saya dipersalahkan kerana tidak datang bekerja selepas tempoh saya direhatkan tamat,” katanya.
Mat Zan berkata, apa yang menyedihkannya ialah cara dia dilayan PBSNT yang seolah-olah tidak langsung menghargai jasa pernah dicurahkan kepada bola sepak Terengganu.
“Kalau mereka tidak puas hati tahap pencapaian pasukan sepanjang hampir enam bulan saya menjadi ketua jurulatih, sepatutnya mereka mempunyai sedikit rasa hormat kepada saya yang pernah meraih Piala Malaysia untuk Terengganu pada 2001.
“Kalau nak diikutkan saya tidak perlu malu kerana kedudukan pasukan semasa saya menjadi ketua jurulatih jauh lebih baik daripada sekarang terutama apabila Terengganu jatuh dari tangga ketiga ke tangga kelima dan terkeluar daripada saingan Piala AFC,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha PBSNT, Abdullah Salleh berkata, pihaknya sudah berusaha sedaya upaya menyelesaikan isu penamatan kontrak Mat Zan.
“Kami menawarkan pembayaran pampasan gaji selama dua bulan namun kami tidak setuju dengan permintaan bekas jurulatih kami yang mahukan PBSNT membayar gajinya hingga tamat musim ini.
“Buat masa ini, kami sudah mengambil tindakan sebaik mungkin dan sekiranya perkara ini berlanjutan ke peringkat lebih tinggi, kami juga akan memberi kerjasama demi keadilan,” katanya.
Zainuddin Muhammad
sukan@hmetro.com.my
.
0 comments:
Post a Comment