Saya pening dengan pendirian jurulatih pasukan Harimau Malaya ini.
Seketika dulu beliau berkata, misi pasukan adalah untuk mengekalkan kejuaran Piala AFF Suzuki yang dimenangi setelah menewaskan Indonesia pada tahun 2010. Selepas itu beliau melebihkan misi ke kejohanan Asia.
Hari ini beliau berkata, keutamaan adalah untuk membawa pasukan ke peringkat kalah mati. Lebih pelik lagi apabila beliau menambah, "saya tidak boleh menjanjikan apa-apa."
Rakyat Malaysia tentunya tidak dapat menerima kata-kata "saya tidak boleh menjanjikan apa-apa" daripada seorang jurulatih yang gajinya antara tertinggi dibayar FAM dalam sejarah bola sepak tempatan.
Sekarang, saya betul-betul pening.
Amierul Hisham
TRWFM Bulletin
---
RAJAGOBAL GEMBIRA JUMPA INDONESIA
Walaupun menghadapi laluan sukar kerana terpaksa berdepan naib juara, Indonesia dan musuh tradisi dalam saingan Kumpulan B Kejohanan Piala Suzuki AFF 2012, semalam, jurulatih Malaysia, Datuk K Rajagobal gembira dengan undian itu.
Beliau menyifatkan undian yang dijalankan di Bangkok itu sebagai satu undian yang benar-benar menarik.
“Kami berada satu kumpulan dengan Indonesia dan saya rasa ia bagus untuk pasukan negara – ia bakal sengit,” katanya yang membawa skuad Harimau Malaya meraih kejuaraan piala itu pada 2010, selepas menumpaskan Indonesia.
“Saya teruja dengan cabaran itu – Indonesia dan Singapura adalah pasukan yang kuat.
“Keutamaan saya ialah untuk mara ke peringkat kalah mati. Kami mahu mencatat keputusan yang baik tetapi saya tidak boleh menjanjikan apa-apa. Namun, fikiran haruslah ditetapkan bahawa kami mahu muncul juara lagi,” katanya semalam.
Satu lagi pasukan yang akan dihadapi skuad Harimau Malaya yang menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2 untuk dimahkotakan selaku juara bola sepak ASEAN buat pertama kali pada final dua tahun lalu dalam Kumpulan B ialah naib juara peringkat kelayakan.
Kumpulan A menyaksikan satu lagi tuan rumah, Thailand yang gagal mara ke peringkat kalah mati pada edisi 2010, akan bertemu Vietnam, Filipina dan juara peringkat kelayakan.
Perlawanan peringkat kumpulan Piala Suzuki AFF 2012 akan berlangsung pada 24 November hingga 1 Disember depan dengan Brunei, Kemboja, Laos, Myanmar dan Timor Leste bersaing pada peringkat kelayakan secara liga sepusingan di Yangon, Myanmar pada 5 hingga 13 Oktober depan.
Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Rajamangala di Bangkok, masing-masing akan menjadi gelanggang utama saingan peringkat kumpulan untuk Piala Suzuki AFF 2012.
Stadium Shah Alam dan Stadium Supachalasai di Bangkok pula akan menjadi gelanggang untuk perlawanan terakhir peringkat kumpulan.
Sementara itu, venue bagi kejohanan kelayakan akan diadakan di Pusat Latihan Remaja di Yangon.
Saingan separuh akhir Piala Suzuki AFF 2012 untuk perlawanan pertama akan diadakan pada 8 dan 9 Disember manakala untuk perlawanan kedua pada 12 dan 13 Disember.
Final yang diadakan secara timbal balik akan berlangsung pada 19 dan 22 Disember.
BERITA HARIAN
.
0 comments:
Post a Comment