Badan induk itu boleh lakukan siasatan walapun desas desus
"Saya rasa mereka (pegawai Persatuan Bola Sepak Malaysia) perlu dihantar ke sekolah untuk belajar undang-undang."
Demikian kata pengkritik sukan tanah air, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim mengulas tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang dianggap prejudis terhadap sesuatu isu termasuk membabitkan kes pemain import Kelantan, Mohammed Ghaddar.
Beliau berkata, tindakan FAM itu agak jahil malah mereka membuat banyak kenyataan bercanggah berkaitan sesuatu isu sekali gus membuktikan badan induk bola sepak negara itu seperti kurang faham dengan peraturan yang ditetapkan mereka sendiri.
"FAM jahil dan tidak faham undang-undang"- Prof Kho Kay Kim
"Tidak betul kalau mereka cakap kena ada aduan dulu baru siasatan dibuat. Sepatutnya FAM sebagai badan induk bola sepak di negara ini, terus melakukan siasatan walaupun kejadian itu hanya diketahui melalui desas desus saja.
"Mereka ada hak untuk siasat. Dalam kes membabitkan Ghaddar, Amri Yahyah dan Bunyamin Umar, saya tidak cakap ada "double standard" tetapi FAM jahil dan tidak faham mengenai undang-undang," katanya kepada BH Sukan, semalam.
Semalam BH Sukan melaporkan walaupun terkilan dengan FAM yang dilihat seperti berdolak dalih, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengambil keputusan menyerahkan "bulat-bulat" kepada badan induk itu menjalankan siasatan terhadap Ghaddar.
Pengurus Pasukan Kelantan, Azman Ibrahim, berkata sebelum ini FAM meminta pihaknya membuat laporan sebelum siasatan boleh dijalankan terhadap Bunyamin kerana melakukan "kekasaran melampau" terhadap Ghaddar pada perlawanan Liga Super d Stadium Sultan Muhammad IV, 29 Jun lalu.
Bagaimanapun, ketika kes yang sama menimpa Bunyamin, FAM tidak perlu menunggu aduan, sebaliknya terus mengeluarkan surat pertuduhan kepada Ghaddar.
Sementara itu, bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Kamaruddin Abdullah ketika dihubungi semalam, berkata apa yang sering menjadi masalah sekarang apabila banyak keputusan jawatankuasa yang pernah dinaunginya itu ditentukan oleh pihak sekretariat.
BH
0 comments:
Post a Comment