Free Shoutcast HostingRadio Stream Hosting

Tuesday, July 24, 2012

Negeri Sembilan pertaruh 3 serangkai pertahan Juara


Turut mendapatkan khidmat pemain pinjaman ialah juara bertahan Piala Malaysia 2011, Negeri Sembilan.

Setelah beberapa tunggak utama mereka mengalami kecederaan, 3 pemain yang bakal menyertai Negeri Sembilan dilihat sebagai percaturan terbaik dalam usaha mempertahankan kejuaraan tersebut.

Khairul Izuan Abdullah, pemain penyerang dari PDRM yang telah menjaringkan 27 gol dalam saingan Liga Perdana lalu akan digandingkan bersama pemain import Negeri Sembilan Jean-Emmanuel Effa Owona dan Ahmad Shakir Md Ali.

Negeri Sembilan turut mendapatkan dua pemain pinjaman yang belum dinamakan dari Sabah FA. Seorang pemain negeri di bawah bayu tersebut, Mafry Balang telah lebih awal disahkan menyertai pasukan Kelantan.

Negeri Sembilan menjadi Juara Piala Malaysia Edisi ke 85 setelah menewaskan Terengganu 2-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Shah Alam musim lalu.

Amierul Hisham
TRW Bulletin

---

KHAIRUL SETUJU BANTU JANG
Mohd Amin Jalil, sukan@hmetro.com.my

SELEPAS prestasi dalam saingan Liga Super kurang memberangsangkan, Negeri Sembilan bakal mendapatkan khidmat tiga pemain luar dalam misi mereka mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia musim ini.

Selain pemegang kasut emas Liga Perdana musim ini, Khairul Izuan Abdullah dari PDRM yang sudah mengesahkan bersama skuad itu, dua lagi pemain dari Sabah dijangka bersama skuad bimbingan Mohd Azraai Khor Abdullah itu.

Bagaimanapun dua pemain dari Negeri Di Bawah Bayu itu belum dapat diumumkan pengurusan pasukan kerana rundingan sedang dijalankan antara Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) dengan Persatuan Bola Sepak Sabah.

Penolong Pengurus Negeri Sembilan, Hamzah Mohd Nor, berkata secara lisannya kedua-dua pemain Sabah itu sudah menyatakan persetujuan bersama skuad Hoben Jang Hoben bagi menghadapi saingan Piala Malaysia.

Katanya, bagaimanapun majikan pemain terbabit belum membuat keputusan rasmi tapi pihaknya yakin ia tidak akan berdepan masalah mendapatkan khidmat kedua-dua pemain berkenaan.

“Setakat ini, Khairul Izuan yang menjaringkan 27 gol dalam saingan Liga Perdana sudah mengesahkan bersama kita (Negeri Sembilan) menghadapi Piala Malaysia dan dia akan berada di Seremban dalam sehari dua lagi kerana sedang bercuti.

“Saya yakin kehadiran Khairul Izuan dan dua pemain Sabah itu nanti akan dapat memperkuatkan lagi pasukan terutama di barisan depan menjelang saingan Piala Malaysia yang dijadualkan bermula selepas perayaan Aidilfitri nanti,” katanya semalam.

Menurut Hamzah, kehadiran Khairul Izuan bakal melengkapkan gandingan penyerang tiga serangkai selepas memiliki Jean-Emmanuel Effa Owona dan Ahmad Shakir Md Ali, yang juga antara penjaring terbanyak Liga Super musim ini.

Malah katanya, kehadiran mereka juga dapat mengatasi masalah kecederaan membabitkan beberapa pemain antaranya Norhafiz Zamani Misbah, Muszaki Bakar dan G Mahathevan.

Mengenai persiapan, beliau berkata, latihan pasukan sudah bermula malam kelmarin bermula jam 10 malam dan beberapa perlawanan persahabatan sedang disusun antaranya dengan Pos Malaysia dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Paroi.

“Saya berharap menerusi persiapan rapi ini, misi kita untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia tercapai sekali pun pencapaian dalam liga sekadar di tangga keenam,”
.

0 comments:

Post a Comment