Free Shoutcast HostingRadio Stream Hosting

Friday, May 25, 2012

Fifa mahu cari alternatif ganti penalti



PRESIDEN Fifa, Sepp Blatter telah mengesyorkan agar satu alternatif dicari bagi menggantikan sepakan penalti dalam menentukan kemenangan sesuatu perlawanan.

Dalam kongres yang diadakan di Budapest hari ini, Blatter menyerahkan tanggungjawab mencari alternatif itu kepada Presiden Kehormat Bayern Munich, Franz Beckenbauer.

Beckenbauer merupakan ketua Pasukan Petugas Bola Sepak 2014, sebuah kumpulan yang ditanggungjawabkan agar menggariskan pindaan-pindaan ke atas peraturan-peraturan permainan.

"Bola sepak boleh menjadi tragedi jika anda menggunakan tendangan penalti," kata beliau hari ini.

"Bola sepak tidak boleh pergi (ke tahap) satu lawan satu. Apabila ia ditentukan oleh tendangan pelanti, bola sepak akan hilang nilai," kata beliau lagi.

Tambah beliau, "kemungkinan Franz Beckenbauer dengan kumpulan 2014 boleh menunjukkan kepada kita satu penyelesaian, kemungkinan bukan hari ini tetapi pada masa depan."

Blatter melahirkan pandangan ini tidak sampai seminggu selepas perlawanan akhir Liga Juara-juara ditentukan menerusi tendangan penalti.

Chelsea menjadi juara kali pertama dalam 44 tahun selepas menewaskan Bayern Munich menerusi tendangan penalti 4-3. Ia kali ke-10 final Piala Eropah ditentukan menerusi tendangan.

Zambia juga memenangi Piala Afrika dengan mengatasi Ivory Coast menerusi penalti.

Final Piala Dunia juga pernah ditentukan menerusi sepakan penalti iaitu Brazil menewaskan Itali pada 1994 manakala Itali pula mengatasi Perancis 2006.

Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment