Free Shoutcast HostingRadio Stream Hosting

Friday, May 25, 2012

Tiga lagi pemain jalani ujian



SELEPAS Muhamad Nazmi Faiz Mansor bakal berhijrah ke kelab SC Beira-Mar, jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee membayangkan beberapa lagi pemain akan meninggalkan pasukannya selepas ini.

Katanya, tiga lagi pemain akan menjalani ujian percubaan selepas tamat kempen kelayakan Piala Asia 2013 Bawah 22 Tahun di Myanmar Jun ini dengan salah seorang daripadanya akan mencuba nasib dengan kelab Portugal.

“Tiga pemain akan menjalani ujian percubaan selepas tamat kempen kelayakan ini. “Seorang daripadanya akan mengikut Nazmi ke Portugal,” katanya yang enggan mendedahkan pemain dan kelab dimaksudkan itu.

Sebelum ini, Wan Zaharulnizam Zakaria dan Wan Zack Haikal Wan Noor dilapor akan menjalani ujian percubaan dengan kelab Divisyen Dua Jepun, FC Ryukyu sebelum Nazmi berjaya memikat Beira-Mar minggu lalu.

Pemain Harimau Muda A juga pernah mendapat perhatian kelab Slovakia, Vion Zlate Moravce apabila Irfan Fazail, Wan Zack Haikal dan Mohd Fadhli Shas dipinjamkan selama tiga bulan tahun lalu.

Kim Swee yang membuat keputusan berani membawa Nazmi dari skuad Harimau Muda bersama skuad juara Sukan Sea Indonesia tahun lalu menganggap kejayaan anak buahnya itu atas usaha semua pihak.

Beliau juga tidak kisah jika akan kehilangan lima atau enam lagi pemain jika mereka mendapat tawaran beraksi di luar negara.

“Saya tidak akan halang jika ada lima atau enam lagi pemain utama keluar kerana mendapat tawaran dengan kelab luar kerana saya boleh memberi peluang kepada pemain lain untuk bersama Harimau Muda A.

“Tapi bila saya tidak ada pemain-pemain utama ini, semua pihak perlu realistik, jangan pula letakkan harapan tinggi untuk kami menjuarai Liga Singapura,” katanya.

Harian Metro

0 comments:

Post a Comment