Free Shoutcast HostingRadio Stream Hosting

Friday, May 25, 2012

Shokri didakwa



IMEJ bola sepak negara tercalar apabila seorang pengadil tempatan, Shokri Nor didakwa di mahkamah Singapura semalam atas tuduhan terbabit dalam mengatur perlawanan Liga Super membabitkan Lions XII menentang Sarawak di Stadium Jalan Besar, Selasa lalu.

Pengadil berusia 47 tahun itu dituduh bersama-sama seorang bekas pemain bola sepak Kedah dan kebangsaan, Thana Segar, 38, melakukan perbuatan itu di sebuah bilik hotel di Pulau Pinang pada 19 Mei lalu untuk mengatur perlawanan itu yang menyaksikan tuan rumah menang 3-0. Kedua-dua individu terbabit didakwa bersetuju menerima suapan sebanyak RM15,000.

Pengerusi Jawatankuasa Integriti Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Aseh Che Mat berkata tindakan itu dimaklumkan kepada mereka oleh pihak Singapura.

“Tindakan perlu diambil. Soal bersalah atau sebaliknya biar mahkamah tentukan. Kalau bersalah saya berharap hukuman setimpal diberikan kerana ia akan menjadi pengajaran kepada yang lain,” katanya.

Tambahnya, perkara terbabit akan dibincangkan dengan lebih lanjut pada mesyuarat jawatankuasa itu bulan depan dan sekiranya mencukupi (bukti dan sebagainya) mereka akan memanjangkan kepada Jawatankuasa Disiplin badan induk bola sepak negara itu untuk diambil tindakan.

Ditanya mengenai situasi sebenar gejala itu pada musim ini, Aseh menjelaskan beliau tidak dapat memberikan gambaran tepat kerana ada 'pasang surutnya'.

“Namun kami sentiasa menerima maklumat, sentiasa peka mengumpul maklumat dan memantau dengan rapi. Pada setiap bulan kami juga mengadakan mesyuarat membincangkan gejala ini. Semua pihak perlu diperhatikan, bukan saja pemain dan pegawai,” katanya.

Bagi Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk Astaman Abdul Aziz, sebarang tindakan hanya akan diambil selepas mahkamah di republik itu membuat keputusan.

“Kami masih belum tahu sama ada beliau (Shokri) bersalah atau sebaliknya. Namun kami di FAM sentiasa memerangi rasuah sama ada ia membabitkan pemain, pegawai atau mana-mana pihak,” katanya.

Pengadil perlawanan antara pendahulu Liga Super itu ditukar pada saat akhir selepas pegawai perlawanan diberitahu mengenai kemungkinan mengatur perlawanan dan digantikan dengan Wan Mohd Tarmizi Wan Ibrahim.

Kedua-duanya dijamin dengan S$50,000 (RM123,524). Untuk dakwaan rasuah itu, mereka berdepan dengan denda sehingga S$100,000 (RM247,059) atau maksimum penjara lima tahun atau kedua-duanya. Kes terbabit akan disebut semula pada 31 Mei ini.

Sebelum ini, dua perlawanan membabitkan LionsXII dalam Liga Super turut dilaporkan mendapat perhatian Fifa yang mengesyaki berlaku gejala mengatur perlawanan dengan kelab Singapura itu mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Sabah pada 21 Januari dan 3-1 mengatasi Negeri Sembilan pada 11 Februari.

Saingan di Liga Singapura turut terpalit apabila awal bulan ini dua bekas pemain S-League dari Korea Selatan, Kim Jae Hong dan Jeon Byung Euk didapati bersalah kerana cuba mengatur perlawanan membabitkan Geylang United menentang Harimau Muda.

Di Malaysia, seramai 11 pemain Piala Presiden Negeri Sembilan digantung antara setahun dan lima tahun manakala bekas jurulatihnya, Yusarman Yusof digantung seumur hidup.

Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

0 comments:

Post a Comment