Free Shoutcast HostingRadio Stream Hosting

Friday, May 25, 2012

Presiden FAM gembira kejayaan Nazmi



PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah melahirkan rasa gembira dengan kejayaan pemain muda, Muhamad Nazmi Faiz Mansor mendapat kontrak beraksi dengan kelab Liga Divisyen Satu Portugal, SC Beira-Mar.

Namun dalam masa sama, baginda mengingatkan pemain berusia 18 tahun itu supaya berusaha bersungguh-sungguh dan tidak mengulangi kesilapan pemain yang berhijrah ke luar negara sebelum ini.

“Saya mengucapkan tahniah kepadanya, dia masih muda dan baru berusia 18 tahun. Dulu sudah ada pemain yang pergi bermain di luar negara tapi ada masalah ‘homesick’ dan macam-macam lagi.

“Bagi saya, penerimaan Nazmi dengan kelab di Portugal satu penghormatan buat FAM dan bola sepak Malaysia,” katanya. sebagai mengulas kejayaan Nazmi mendapat kontrak selama tiga tahun selepas menjalani ujian percubaan dengan Beira-Mar minggu lalu.

Sultan Ahmad Shah yang hadir menyaksikan perlawanan skuad bawah 22 tahun negara menentang kelab Hungary, Ferencvaros TC di Stadium Albert Flarion, Budapest, kelmarin sempat meluangkan masa bertemu pemain dan jurulatih, Ong Kim Swee di bilik persalinan.

Perlawanan persahabatan bagi persediaan skuad negara ke kejohanan kelayakan Piala Asia 2013 di Myanmar bulan depan itu menyaksikan skuad negara tewas 0-5 di tangan juara liga 28 kali, Ferencvaros.

Baginda berada di Budapest bagi menerima anugerah tertinggi badan induk bola sepak antarabangsa, Fifa Order of Merit dari Presiden Sepp Blatter sempena Kongres Fifa semalam atas sumbangannya dalam dunia bola sepak.

Sultan Ahmad Shah berharap agar lebih ramai pemain berani untuk merebut peluang menimba pengalaman di luar negara.

“Apa yang saya difahamkan bayaran yang diterima Nazmi sangat memuaskan. Dia kena berusahalah, belajar cara permainan di Portugal,” katanya.

Harian Metro

0 comments:

Post a Comment