Free Shoutcast HostingRadio Stream Hosting

Tuesday, May 15, 2012

Tiket Piala FA: Sambutan penyokong Kelantan 'hebat'

PENYOKONG setia The Red Warriors terus membuktikan sokongan tanpa henti kepada pasukan kesayangan mereka apabila 5,000 tiket final Piala FA menentang Sime Darby FC, Sabtu ini habis dijual dalam tempoh dua jam, di pekarangan kompleks Kumpulan Media Karangkraf (KMK), Shah Alam hari ini.

Kehadiran penyokong setia negeri Cik Siti Wan Kembang itu mulai dirasai jam 11.15 pagi dengan berbaris dalam keadaan teratur serta menunjukkan keyakinan mampu menjulang Piala FA setelah dua kali menjejaki pentas akhir sebelum ini.

Wakil Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Nik Radhi Nik Abdullah berkata, kira-kira 5,000 tiket dijual kepada penyokong setia pasukan Kelantan sekitar Lembah Klang dan ia habis dalam tempoh dua jam.

"Kaunter jualan tiket dibuka mulai jam 11 pagi dan penyokong yang terdiri dari pelbagai lapisan mula berbaris mendapatkan tiket seawal jam 11.15 pagi.

"Bagi memastikan penyokong yang hadir untuk membeli tiket tidak hampa, kita menghadkan 10 tiket bagi setiap penyokong walaupun pada awalnya terdapat rungutan dari penyokong, namun kita terpaksa melakukannya demi kebaikkan semua," katanya.

Ketika ditanya adakah pihaknya akan cuba mendapatkan tiket tambahan bagi memberi peluang kepada penyokong The Red Warrior yang tidak sempat membeli tiket, beliau berkata, setakat ini masih belum ada perancangan.

"Setakat ini kita hanya diperuntukkan 5,000 tiket untuk dijual namun sekiranya ada tambahan ia akan dimaklumkan melalui laman sesawang atau melalui akhbar dari masa ke semasa.," katanya

Oleh NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH, SINAR HARIAN

0 comments:

Post a Comment