Free Shoutcast HostingRadio Stream Hosting

Thursday, May 31, 2012

Statut FAM termasuk Artikel 88 dipinda


Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan untuk meminda semua statut badan induk itu pada Mesyuarat Kongres Kelapan 7 Julai ini ekoran perkembangan yang melanda badan induk itu dan juga atas nasibat Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Perkara itu disahkan oleh Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif di Wisma FAM petang tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM berkata, statut yang bakal dipinda ialah Artikel 88 yang mencetuskan kontroversi selepas mendapat saranan Fifa.

Artikel 88 peraturan 201-10-2014 FAM menyebut bahawa hanya Presiden dan Setiausaha Agung yang boleh membuat kenyataan. Sekiranya ada di kalangan mereka yang di bawah naungan FAM ingin membuat kenyataan, merea perlu mendapatkan izin kongres terlebih dahulu.

Beberapa cadangan tentang pindaan statut akan dibincangkan dan diluluskan pada mesyuarat kongres akan datang.

"FAM akan menggubal kesemua statut pada Mesyuarat Kongres FAM Kelapan selepas ahli-ahli Exco bersetuju untuk mengkaji kesemua artikel FAM pada Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif.

"Antara beberapa artikel sudah tentu kita hendak perkemaskan Artikel 88 yang menjadi tumpuan dan beberapa kompenen yang lain yang Fifa hendak kita ubah, kita akan bincangkan.

"FIFA juga menyarankan beberapa pandangan ketika FAM menghadiri Mesyuarat Kongres FIFA di Hungary, baru-baru ini.

"Pengerusi Jawatankuasa dan Undang-Undang FAM, Datuk Affendi Hamzah akan meluluskan dalam mesyuarat kongres akan datang," katanya kepada pemberita pada sidang media di Wisma FAM.

Sementara itu, Hamidin turut memberikan reaksi berhubung isu rasuah pengadil, Shokri Nor yang didakwa terlibat dalam peraturan perlawanan pada aksi Lions XII menentang Sarawak di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Siasatan masih dijalankan dan FAM masih menunggu keputusan dari pihak mahkamah Singapura mengenai status pengadil itu.

"Kita telah mendapat laporan daripada pihak polis Singapura tentang perkara tersebut dan akan mengambil tindakan selanjutnya serta sedang dibincangkan.

"Mungkin ada satu dua perkara sensitif saya tidak boleh maklumkan tapi apa yang saya boleh cakap, semuanya masih dalam siasatan. Kita akan maklumkan nanti," katanya lagi.

Ditanya sama ada Liga Super perlu dihentikan sementara, kata beliau, perkara semasa hanya melibatkan seorang pengadil yang kini dalam siasatan.

"Jadi kita tidak boleh bertindak terburu-buru kerana pemain-pemain kita juga pernah terlibat dengan rasuah.

"Liga Super akan berlangsung seperti biasa meskipun dikaitkan isu aturan perlawanan. Kita masih menunggu keputusan penuh mengenai hal itu," katanya.




MOHD ZULFADLI SHARIFUDIN, SINAR HARIAN

0 comments:

Post a Comment